
INSIDEN protes Gempur Rasuah Sabah 2.0 yang menyaksikan karikatur menyerupai wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibakar oleh sekumpulan pelajar menjadi perbincangan hangat di peringkat nasional.
Tindakan melampau itu tidak membuatkan Anwar, yang sebelum ini juga pernah bergelar aktivis mahasiswa melatah sebalik beliau mengambil pendekatan berjiwa besar.
Perdana Menteri semasa Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada 24 Jun, mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) supaya tidak mengambil tindakan buang universiti terhadap pelajar terbabit.
BACA LAGI: Di ambang tarif elektrik baharu, pengguna ambil sikap 'tunggu dan lihat'
BACA LAGI: 'Dron bukan sekadar permainan', K10 UPSKILLS! 4.0 landasan pelajar UPM, peserta kuasai STEM
Bahkan beliau mahu pelajar terlibat agar dibenarkan meneruskan pengajian masing-masing seperti biasa.
Perkara itu disampaikan Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah dengan menyatakan bahawa Anwar yang juga bekas aktivis mahasiswa dan reformis sentiasa mempertahankan kebebasan bersuara seperti termaktub dalam Perlembagaan.
"Selaras dengan pendekatan MADANI yang mengutamakan nilai ihsan, Perdana Menteri turut mengarahkan KPT dan UMS agar pelajar yang terlibat tidak disekat perjalanan akademiknya," katanya ketika taklimat tersebut pada Selasa.
Anwar tidak mahu pelajar UMS terlibat protes dikenakan tindakan.
Beliau menegaskan bahawa pendekatan kerajaan adalah berpaksikan ihsan, reformasi, dan peluang kedua sekaligus menolak sebarang bentuk pembalasan yang boleh menamatkan masa depan seorang anak muda hanya kerana perbezaan pandangan.
"Perdana Menteri sendiri muncul daripada gerakan mahasiswa dan pernah memimpin gerakan reformasi di jalanan, maka beliau benar-benar memahami suara itu, beliau sendiri saksi bahawa kritikan, walau sepedas mana, adalah sebahagian penting dalam meraikan demokrasi,” katanya.
Perdana Menteri juga jelasnya menitip pesan bahawa semangat perubahan bermula dengan keberanian anak muda menyuarakan kebenaran berlandaskan fakta dan niat yang tulus.
Di pihak kerajaan, komitmen reformasi kekal teguh, sedang dan telah diterjemahkan ke dalam tindakan nyata.
“Komitmen reformasi ini tidak akan terhenti setakat ini, dan ia akan terus diperhalusi dan dilaksanakan dengan berstruktur,”ujarnya.
Sementara itu, Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) mengeluarkan kenyataan mengecam tindakan membakar karikatur itu dengan menyifatkannya sebagai perbuatan yang melampaui batas kesantunan intelektual.
“MPPK mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan ini. Ia bukan sahaja mencerminkan ketandusan pemikiran rasional, malah berisiko mengganggu ketenteraman awam serta menghakis nilai kesarjanaan," menurut kenyataan itu.
Pada Ahad lalu, media melaporkan, sekumpulan pelajar di Sabah bertindak membakar poster Perdana Menteri sebagai protes terhadap gejala rasuah. — Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram