
UNIVERSITI Putra Malaysia (UPM) terus memperkukuh peranannya dalam pembangunan bakat muda menerusi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui penganjuran Program K10 UPSKILLS! 4.0, anjuran Kolej Sepuluh (K10).
Program dua hari yang berlangsung pada 12 dan 13 April lalu itu menawarkan lima modul utama yang memberi fokus kepada peningkatan kemahiran teknikal, komunikasi strategik, pembangunan kerjaya dan pemikiran kritikal pelajar.
Pengarah Program, Sathiesh Jenson Indran, pelajar tahun 2 Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, berkata, K10 UPSKILLS! 4.0 digerakkan sebagai platform strategik yang menjadikan mahasiswa bukan sekadar peserta, tetapi peneraju dalam mencorak penganjuran program berimpak tinggi berasaskan keperluan industri.
“Kami tidak mahu program ini sekadar aktiviti rutin. Ia perlu menjadi medan pembelajaran sebenar untuk mengasah minda, membina keyakinan serta memperluas horizon pemikiran peserta dalam bidang berkaitan STEM. Kami tidak hanya bercakap soal teori, tetapi membina kebolehlaksanaan dalam dunia sebenar,” katanya.
Antara pengisian utama ialah Beginners Stepup: Adobe Designer, bengkel pengenalan kepada Adobe Illustrator yang menekankan kemahiran rekaan grafik dan tipografi digital.
Modul ini memberi peluang kepada peserta menghasilkan rekaan t-shirt menggunakan prinsip rekaan vektor secara praktikal, serta memahami peranan teknologi visual dalam dunia kejuruteraan, pemasaran dan inovasi produk.
Modul Enhanced Multimedia Software Tools pula memperkenalkan penggunaan perisian Capcut dan Flutter, iaitu platform penyuntingan video dan pembangunan aplikasi mudah alih. Pelajar diberi latihan untuk menghasilkan kandungan digital dan prototaip interaktif, di samping memperkukuh kefahaman terhadap pembangunan produk digital yang kian relevan dalam ekonomi berasaskan teknologi.
Bengkel Job Hunting Workshop yang dikendalikan oleh pakar dari program GREAT memberi fokus kepada strategi penulisan resume yang berimpak tinggi, bersesuaian dengan keperluan sektor profesional, terutamanya dalam bidang sains dan kejuruteraan.
Peserta turut mendapat maklum balas individu secara langsung, memberi ruang untuk mengenal pasti kekuatan dan potensi diri dari perspektif kerjaya.
Modul Mastering the Mic: Comprehensive Public Speaking Workshop menampilkan sesi latihan pengucapan awam dan forum ilmiah yang mempertemukan pelajar tempatan dan antarabangsa membincangkan isu semasa seperti kecerdasan buatan (AI) dalam komunikasi dan cabaran teknologi dalam penyampaian maklumat.
Forum ini dihangatkan lagi dengan kehadiran panel jemputan antarabangsa dari Iraq dan pelajar dari China, menjadikan platform ini medan pertukaran idea rentas budaya. Turut serta ialah peserta jemputan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang membuktikan keterbukaan program ini dalam membina kolaborasi antara universiti.
Panel jemputan, Profesor Ts Dr. Wan Zuha Wan Hasan dari Fakulti Kejuruteraan UPM, menyifatkan program ini sebagai inisiatif berimpak tinggi yang wajar diteruskan dan diperluaskan.
“Program ini boleh pergi jauh. Kita jadikan ini satu permulaan. Saya lihat potensi besar untuk bawa modul ini ke peringkat lebih tinggi, mungkin dalam bentuk pertandingan, dan melibatkan penyertaan global. Kita besarkan lagi skala pengucapan awam ini,” katanya ketika ditemui selepas forum berlangsung.
Acara kemuncak K10 UPSKILLS! 4.0 ialah Dronetech Arena yang menghimpunkan lebih 100 peserta termasuk pelajar sekolah menengah sekitar Selangor terdiri daripada pelajar SMK Desa Serdang, SMK Jalan Tiga, SK Jalan Tiga dan SMK Tinggi Kajang memeriahkan lagi suasana dan membuktikan bahawa minat terhadap teknologi dron kini semakin meluas di kalangan pelajar pelbagai peringkat.
Program ini dirasmikan oleh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Profesor Dr. Arifin Abdu dan Pengetua Kolej Sepuluh, Profesor Dr. Aminuddin Hassan.
Kehadiran wakil rakyat tersebut dan pihak pengurusan universiti ini menyerlahkan komitmen institusi dan pemimpin setempat dalam memajukan agenda pendidikan teknologi.
Dronetech Arena menampilkan pelbagai aktiviti menarik termasuk pameran industri dron, simulasi penerbangan dan sesi kawalan dron sebenar, menjadikannya platform pendedahan awal kepada teknologi canggih yang semakin mendapat tempat dalam pelbagai industri.
Menurut Afiq Farhan bin Azhari, pelajar tahun 1 Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dengan Kepujian merangkap pengarah kecil program ini, Dronetech Arena bukan sekadar pameran, tetapi satu gerakan ke arah membina kesedaran tentang potensi kerjaya dalam bidang teknologi dron.
“Peserta sepatutnya melihat dron bukan sekadar permainan, tapi juga laluan ke dunia kerjaya,” jelasnya.
Beliau menyarankan agar inisiatif ini diteruskan secara berstruktur melalui penubuhan kelab dron, penganjuran pertandingan serta pelibatan industri dalam bentuk sesi networking dan lawatan teknikal.
Tambahnya, program seperti ini wajar dijadikan acara tahunan bagi memastikan kesinambungan dan manfaat kepada pelajar baharu.
Sementara itu, Dr. Aminuddin Hassan berkata, program ini bukan sahaja membentuk kemahiran teknikal mahasiswa, tetapi turut memberi ruang kepada pengurusan projek sebenar secara profesional.
“Mereka belajar melalui proses, daripada menyusun strategi, mengurus bajet, membina kerjasama dengan industri, hinggalah menguruskan hubungan dengan pihak berkepentingan. Inilah universiti sebagai tapak latihan sebenar.”
K10 UPSKILLS! 4.0 membuktikan bahawa mahasiswa bukan sahaja pengguna ilmu, tetapi pencetus pemikiran, pemacu teknologi, dan duta profesionalisme masa hadapan, bersedia memimpin era digital melalui STEM dan kecemerlangan intelektual. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram