
GULA bertapis atau gula putih disahkan kekal tidak dikenakan Cukai Jualan meskipun selepas pelaksanaan semakan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai ini.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan di Facebook menjelaskan, penegasan itu dibuat susulan kenyataan MSM Malaysia Holdings Berhad yang menyuarakan kebimbangan berhubung potensi kesan cukai terhadap harga pasaran gula.
Menurut MOF, kerajaan mengambil pendekatan bersasar dengan tidak mengenakan cukai ke atas barangan keperluan utama rakyat seperti gula, garam, ayam, telur, daging, ikan, sayur-sayuran, minyak masak dan beras bagi memastikan rakyat tidak terkesan dengan pelaksanaan semula SST.
BACA LAGI: [VIDEO] Dua rakyat Malaysia dicekup cuba seludup SIM Box ke Thailand
BACA LAGI: Iron Dome hanya mampu bertahan 10-12 hari lagi tangkis misil Iran
Penjelasan MOF mengenai kesan cukai jualan ke atas gula mentah. — Facebook/MOF
“Gula mentah yang digunakan dalam pengeluaran gula halus akan dikenakan cukai jualan sebanyak lima peratus. Namun, pengilang seperti MSM layak memohon pengecualian cukai atas bahan mentah dan input mereka,” kata MOF.
Justeru, menurut kementerian itu, tiada sebab untuk berlakunya sebarang kenaikan harga gula putih, memandangkan pengilang turut menerima insentif bulanan daripada kerajaan bagi menjamin kestabilan bekalan dan harga di pasaran.
MOF turut menjelaskan bahawa pengecualian cukai boleh dipohon menerusi Jabatan Kastam Diraja Malaysia, seperti diperuntukkan di bawah Butiran 1, Lajur (2), Jadual B dalam Perintah Cukai Jualan (Orang Yang Dikecualikan daripada Pembayaran Cukai). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram