SEBUT sahaja dunia pemotoran, menjadi kelaziman untuk orang ramai menganggap bahawa ia adalah sesuatu pekerjaan yang didominasi oleh kaum lelaki.
Bagaimanapun, tanggapan tersebut tidak sama sekali menghalang Nina Yahya daripada menceburi bidang berkenaan apatah lagi pada usia seawal 22 tahun.
Nina merupakan pemilik syarikat kecantikan kereta dikenali sebagai 9ners Car Polishing yang menyediakan perkhidmatan proses pembersihan, mengilap dan menambah lapisan perlindungan cat kereta.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Dia yang merupakan pemegang diploma dalam bidang dandanan rambut berkata, keterlibatan awal dalam dunia pemotoran bermula dengan menjual minyak enjin kereta.
Pada masa sama, dia turut terdedah dalam bidang tersebut secara tidak langsung ketika membantu mengendalikan kedai mencuci kereta milik bapanya.
Ketika itu, Nina berkata, selain menyokong operasi, dia yang turut menjadi model sambilan juga bertanggungjawab melakukan pemasaran dan promosi bagi kedai mencuci kereta terbabit di media sosial.
Nina mula menyediakan perkhidmatan mencantikkan kereta dari rumah keluarganya. — Facebook/NinaYahya
"Minat menghias kereta mula timbul apabila saya perlu menjadi pekerja ganti untuk membantu operasi kedai yang berdepan masalah kekurangan pekerja.
"Pada waktu itu, saya juga mempelajari teknik mencuci kereta dan rasa sangat puas melihat kereta kelihatan bersih. Jadi daripada situ timbul minat.
"Pada mulanya saya hanya lakukannya sebagai hobi sebelum timbul motivasi untuk memulakan perniagaan," katanya kepada Majoriti.
Susulan daripada itu, Nina berkata, idea untuk mewujudkan perkhidmatan tambahan kekemasan kereta atau 'auto detailing' terbabit kemudiannya diutarakan kepada bapanya.
Untuk memastikan perkhidmatan ditawarkan benar-benar berkualiti, dia yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik turut mengikuti kurus di Osren Malaysia untuk mengukuhkan kefahaman terhadap bidang tersebut.
Antara kemahiran dipelajari daripada segi teknik cucian, polishing, headlamp restoration dan termasuk pembersihan dalaman kereta.
Bermula daripada situ, Nina memulakan perniagaan hiasan kereta terbabit secara sepenuh masa dari rumah keluarganya di Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram, Johor sejak Mei tahun lalu.
"Untuk memastikan hasil kerja terbaik, saya juga lebih selesa melakukan kerja ini bersendirian sehingga selesai.
"Waktu itu saya beroperasi mulai 7 pagi hingga 7 malam dengan melakukan kerja seperti cuci kereta, menggilap yang biasanya memakan masa antara dua hingga tiga hari," katanya.
Selepas mendapat sambutan menggalakkan, Nina kemudiannya membuka kedai perkhidmatan hiasan kereta dikenali dengan nama 9Ners Detailing Studio di Jalan Eco Cascadia 6/2, Johor Bahru.
Premis tersebut buat masa ini dioperasikan bersama suaminya yang juga pemuzik, Hafiz Nasir, 34, dan seorang lagi pekerja.
Antara kereta yang mendapat sentuhan perkhidmatan 9ners Polishing. — Facebook/NinaYahya
Dalam pada itu, Nina mengakui antara cabaran utama dihadapi adalah untuk mengekalkan konsistensi dan kualiti perkhidmatan ditawarkan kepada pelanggan.
"Di samping itu, apabila permintaan meningkat, ia boleh menjadi sukar untuk menguruskan masa dan sumber apabila hanya saya dan suami yang mengendalikan perniagaan ini.
"Daripada segi pendapatan, perniagaan ini boleh memberikan pulangan baik terutama sekali apabila kami dapat membina pelanggan tetap dan respons positif daripada mereka.
"Walaupun ia mencabar pada awalnya untuk membina kepercayaan pelanggan, tetapi apabila perkhidmatan kami memenuhi harapan mereka, pulangan akan lebih stabil dan lumayan," katanya.
Nina berkata, pada waktu ini, dia masih melakukan kerja sebagai model sambilan untuk mendapatkan pendapatan tambahan khususnya dalam bidang pengiklanan berkaitan automotif.
"Saya mengambil kerja sebagai model di luar waktu perniagaan atau pada hari cuti," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram