
PENDUDUK di sekitar kawasan perindustrian Taman Megah Ria, dekat Masai, Johor, berdepan detik cemas apabila sebuah kilang dipercayai dijadikan stor penyimpanan minyak enjin lori di kawasan berkenaan terbakar dalam satu kejadian yang berlaku pada Sabtu.
Beberapa video dan gambar yang memaparkan asap tebal membumbung tinggi serta beberapa individu awam berada berhampiran lokasi kejadian kini tular di media sosial.
Rakaman tersebut menunjukkan suasana kecoh apabila beberapa penduduk kelihatan cuba merakam kejadian dari jarak dekat, meskipun api masih marak dan pasukan bomba sedang giat menjalankan operasi pemadaman.
Menurut maklumat awal yang dikongsikan warga maya, kejadian dipercayai berlaku sekitar pukul 12.30 tengah hari dan menyebabkan suasana panik dalam kalangan penduduk berhampiran serta pekerja kilang lain di kawasan tersebut.
Turut kelihatan kepulan asap yang dianggarkan setinggi 100 meter di kawasan berkenaan.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, mereka menerima panggilan kecemasan pada 12.54 tengah hari dan jentera pertama tiba di lokasi pada 1.06 tengah hari.
"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba di lokasi kejadian didapati kebakaran melibatkan kawasan penyimpanan lori dan minyak enjin lori.
"Anggaran awal kemusnahan akibat kebakaran sebanyak 60 peratus. Keadaan angin yang kuat mengakibatkan kebakaran merebak ke kawasan penyimpanan minyak terpakai yang tidak beroperasi.
"Tindakan awal memadam kebakaran menggunakan dua aliran sepanjang 1,200 kaki dengan dua pancutan dari jentera Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, dua aliran 700 kaki dan satu pancutan dari jentera BBP Johor Jaya, serta satu aliran 600 kaki dan satu pancutan dari jentera PBS," katanya pada Sabtu.
Bomba memaklumkan sumber air diperoleh daripada tangki jentera, tangki air serta pili bomba berhampiran dan sebanyak 14 tong buih turut digunakan dalam usaha pemadaman.
Seramai 34 anggota terlibat dalam operasi membabitkan keanggotaan dan aset dari BBP Pasir Gudang, Johor Jaya, Tebrau, Kota Tinggi, Larkin selain Pasukan Bomba Sukarela Mount Austin dan Ulu Tiram.
Setakat berita ini ditulis, operasi pemadaman masih berjalan dan tiada mangsa dilaporkan.. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter , Facebook , Instagram , WhatsApp Channel dan Telegram