'Saya tak mahu anak orang lain jadi mangsa,' ibu tuntut keadilan, bayi 8 bulan maut angkara kecuaian pengasuh di Cheras


  • Massa
  • Jumaat, 20 Jun 2025

Darwish (gambar kecil) dipercayai tersedak susu ketika berada di bawah jagaan pengasuh di sebuah rumah di Cheras.

"DARWISH sihat ketika dihantar pagi itu. Tak sangka beberapa jam kemudian saya terima video anak terbaring dengan mata ke atas dan nafas tersekat-sekat,".

Demikian luahan pilu seorang ibu, Nur Adilah Burhan, 35, yang kini menuntut keadilan atas kematian anak bongsunya dipercayai akibat kecuaian pengasuh.

Tragedi malang yang menimpa bayi berusia lapan bulan itu berlaku selepas wanita tersebut menghantar anak bongsunya ke rumah pengasuh yang beroperasi secara persendirian di sebuah pangsapuri di Cheras, Kuala Lumpur pada 10 Jun lalu.

BACA LAGI: Tak semua pedofilia tunjuk simptom gangguan mental, ada yang mampu buat keputusan rasional — Pakar psikologi

BACA LAGI: Tayang nama, muka pesalah pedofilia demi keselamatan anak-anak — Pakar

Menurut Nur Adilah, sejak awal dia memberi kepercayaan kepada pengasuh berkenaan dengan menghantar dua anaknya, Norul Ariq Azka, 4, dan Norul Fareel Aldrich, 2, ke rumah wanita itu sejak 2023.

Namun dia tidak menyangka bahawa kepercayaan tersebut membawa padah kepada mereka sekeluarga.

"Dia (pengasuh) kelihatan baik, rumah pun bersih. Katanya dia berhenti kerja untuk jaga anak sendiri sambil ambil upah jaga anak asuhan. Jadi saya fikir selamatlah," katanya kepada Majoriti.

Nur Adilah hanya ingin menutut keadilan atas kematian anak bongsunya dipercayai akibat kecuaian pengasuh.

Ujar Nur Adilah lagi, dia mula menghantar anak bongsunya itu pada awal April lalu selepas kembali bekerja secara sambilan di sebuah syarikat di Damansara, Selangor.

"Saya hantar Darwish sebab sebelum ini tiada masalah dan dia pun setuju untuk jaga, tetapi sejak anak asuhannya semakin ramai, mula ada kelainan," ujarnya.

Dakwanya lagi, pengasuh terbabit selama ini turut meyembuyikan anak jagaannya.

Selepas ditanya beberapa kali, baru pengasuh mengaku menjaga sehingga enam kanak-kanak dalam satu masa, termasuk dua anaknya sendiri.

Sebelum kejadian, pengasuh itu mendakwa Darwish sukar untuk dijaga selain kerap menangis.

Nur Adilah bagaimanapun menyangkal, dengan mengatakan anaknya itu biasanya tidak sukar dijaga.

"Dia sering mengadu Darwish susah tidur, perlu dibedung dan ditidurkan dalam buai tapi di rumah, Darwish mudah tidur dan tak pernah meragam, " katanya menambah mereka suami isteri memang sudah rancang untuk tidak lagi menghantar Darwish selepas Jun.

Video anak terlantar, nafas tersekat

Darwish dipercayai meninggal dunia selepas tersedak susu.

Nur Adilah berkata, pada hari kejadian, dia menghantar tiga anaknya lebih awal dari kebiasaan. Namun sekitar tengah hari, dia menerima panggilan dan mesej daripada pengasuh mendakwa bayi tersebut batuk dan selesema.

"Saya hantar Darwish pukul 9 pagi, awal dari biasa sebab ada hal. Sampainya di sana, saya ketuk pintu agak lama sebelum dia buka.

"Semasa menyerahkan Darwish, anak saya tiba-tiba menangis, namun langsung tak dipujuk oleh pengasuh, sebaliknya dia terus tutup pintu. Saya dah mula rasa tak sedap hati," luahnya.

Wanita itu menambah, sekitar pukul 12 tengah hari, dia menerima panggilan dan mesej video mengejutkan daripada pengasuh.

"Dia kata anak saya macam selesema dan batuk tapi saya tengok video itu, Darwish dah terbaring, mata ke atas, susah nak bernafas," ungkapnya.

Nur Adilah segera meminta bantuan ibunya yang tinggal berdekatan untuk ke rumah pengasuh.

Namun, setibanya di sana, nenek mangsa mendapati bayi itu telah bertukar kebiruan dan tidak sedarkan diri.

Jelasnya lagi, disebabkan ibunya dan pengasuh itu tidak mempunyai kenderaan sendiri, mereka meminta bantuan jiran untuk membantu membawa Darwish ke hospital, namun bayi itu sudah berada dalam keadaan kritikal.

"Jiran-jiran yang bantu bawa dia ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HUKM), Kuala Lumpur. Namun saya dimaklumkan dalam keadaan panik itu, pengasuh hanya bersikap acuh tidak acuh dengan anak saya.

"Ketika di hospital, doktor maklumkan Darwish sudah nyawa-nyawa ikan dan perlu bantuan oksigen sebelum ditidurkan.

"Kebanyakan organnya juga sudah gagal berfungsi dan selepas dua hari berada dalam keadaan koma, Darwish disahkan meninggal dunia selepas bertarung nyawa dua hari," katanya sebak.

Dedah sikap sebenar pengasuh

Keadaan rumah pengasuh yang terletak di Cheras.

Paling mengejutkan ketika pengebumian Darwish, Nur Adilah dimaklumkan jiran pengasuh yang tampil sebagai saksi, wanita terbabit sebelum ini didakwa pernah terlibat dalam dua kes pengabaian kanak-kanak lain.

Ujarnya, insiden itu melibatkan seorang bayi yang mengalami kecederaan di kepala dan seorang lagi kanak-kanak perempuan patah tangan.

"Difahamkan dua laporan dibuat, namun masih belum tiada tindakan susulan dari mana-mana pihak berwajib.

"Saya diberitahu setiap hari pengasuh akan meninggalkan anak-anak asuhan bersendirian tanpa penjaga, untuk menghantar anaknya menaiki van sekolah di tingkat bawah.

"Anak saya pun dipercayai ditinggalkan masa itu bersama kedua-dua abangnya, Norul Ariq dan Fareel Aldrich," dakwa wanita itu sambil memberitahu bahawa pengasuh itu menetap di tingkat dua.

Dia turut mendakwa, pengasuh tersebut langsung tidak menunjukkan rasa bersalah, malah sama sekali tidak menghubungi atau mengunjungi mereka ketika anaknya kritikal di hospital.

Sebaliknya, dia didakwa berterusan mencari anak asuhan baharu selepas kejadian.

"Sampai satu tahap, jiran dia buat status WhatsApp tentang kematian Darwish, dia boleh tanya Darwish mana yang dimaksudkan.

"Dia seolah-olah langsung tak kenal anak saya. Macam tak ada perasaan,” katanya lagi.

Susulan kejadian itu, Nur Adilah membuat dua laporan polis dan satu laporan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dakwanya lagi, ketika bersemuka dengan pengasuh tersebut, wanita itu mengaku ada meninggalkan anaknya bersendirian pada hari kejadian.

"Malah dia seperti menyalahkan anak saya yang berumur empat tahun kerana tidak menjaga adiknya.

"Pihak hospital kemudian turut mengesahkan anak saya mengalami suspected aspiration (tersedak susu) dan kegagalan organ menyeluruh," jelasnya.

Bagaimanapun, ujian darah lanjut sedang dijalankan bagi menolak kemungkinan punca kematian lain.

Menutup bicara, Nur Adilah dan suaminya, Norul Ezwan Nasir berharap agar kes tersebut dapat dibawa ke muka pengadilan dan tindakan tegas dapat diambil terhadap individu terbabit supaya tiada lagi nyawa anak kecil menjadi korban akibat kecuaian dan sikap tidak bertanggungjawab.

"Saya tak boleh kembalikan Darwish, tapi saya tak mahu anak orang lain jadi mangsa.

"Dia (pengasuh) masih lagi mencari anak asuhan. Kalau tiada siapa bersuara, berapa ramai lagi anak akan jadi korban?" soalnya dengan nada pilu.

Dalam pada itu, setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh pihak berkuasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram