
PENGLIBATAN aktif seorang bapa dalam kehidupan anak bukan sahaja memberi kesan kepada perkembangan emosi dan mental si kecil, malah mampu meningkatkan tahap kesihatan keluarga secara keseluruhan.
Kajian menunjukkan kehadiran bapa sejak daripada fasa kehamilan sehingga ke alam remaja anak adalah faktor penting dalam menjamin tumbesaran sihat serta kesejahteraan psikologi kanak-kanak.
Malangnya, satu kajian pada tahun 2013 mendedahkan hampir 24 juta kanak-kanak di seluruh dunia membesar tanpa kehadiran bapa di rumah dan ia merupakan satu angka yang amat membimbangkan.
BACA LAGI: Mulut berbau bukan biasa-biasa, petanda masalah dalaman — Pakar
BACA LAGI: [VIDEO] Anak kerap mengadu sakit kepala? Awas! Mungkin ia petanda migrain
Pakar Kanak-Kanak dari Durban, Afrika Selatan, Dr. Mark Moodley menegaskan penglibatan bapa sejak awal sangat penting.
Ini termasuk kehadiran mereka sewaktu kelahiran anak dan ketika mendapatkan rawatan kesihatan serta pendidikan.
"Peranan bapa boleh datang dalam pelbagai bentuk sama ada sebagai penjaga utama, salah seorang penjaga utama bersama ibu, atau sebagai penjaga sekunder.
"Ia tidak semestinya terhad kepada bapa kandung, malah termasuk bapa angkat, tiri dan juga datuk," katanya.
Kajian antarabangsa turut menunjukkan peningkatan jumlah bapa tunggal yang membesarkan anak-anak, sekali gus mencerminkan perubahan trend dalam sistem keibubapaan.
Dr. Mark Moodley (kanan) menegaskan penglibatan bapa sejak awal sangat penting bagi perkembangan awal kanak-kanak. — Agensi
Anak membesar lebih sihat
Lebih menarik, penglibatan bapa dalam penjagaan anak turut dikaitkan dengan penurunan risiko obesiti dan asma dalam kalangan kanak-kanak, selain kesan positif terhadap kesihatan mental dan kognitif anak.
Malah, kajian pada 2007 juga menunjukkan bahawa kehadiran bapa ketika kehamilan mampu mengurangkan tabiat yang tidak sihat dalam kalangan ibu serta risiko kelahiran pramatang.
Di sektor swasta, semakin ramai bapa kini turut serta dalam proses kelahiran anak dan memberikan sentuhan 'kulit ke kulit' (skin-to-skin) selepas bayi dilahirkan.
Kaedah itu, yang juga dikenali sebagai 'kangaroo care', amat penting terutamanya bagi bayi pramatang.
Peranan bapa amat penting dalam menyokong ibu yang mungkin mengalami kemurungan selepas bersalin. — Gambar Hiasan/FreePik
Manfaat penglibatan bapa berterusan sepanjang zaman kanak-kanak
Malah, tempoh 1,000 hari pertama kehidupan anak dianggap sebagai fasa emas yang memerlukan sentuhan kasih sayang dan bonding daripada kedua-dua ibu bapa.
Dalam kalangan kanak-kanak yang menghidap penyakit kronik, mereka yang tidak mendapat sokongan bapa menunjukkan tahap kepatuhan rawatan, penyesuaian psikologi dan kesihatan yang lebih rendah.
Sebaliknya, apabila bapa terlibat sejak bayi baru lahir, risiko anak mengalami masalah kesihatan mental atau tingkah laku ketika kecil dapat dikurangkan.
Kesihatan mental keluarga turut mendapat perhatian dalam pelbagai kajian. Peranan bapa amat penting dalam menyokong ibu yang mungkin mengalami kemurungan selepas bersalin.
Ini termasuk berkongsi tugas menjaga bayi seperti memberi susu, menukar lampin dan menenangkan bayi semasa menangis, terutamanya jika bayi mengalami kolik yang boleh memberikan tekanan besar kepada ibu bapa.
Namun begitu, Dr. Moodley menegaskan bahawa kesihatan mental bapa juga perlu diberi perhatian yang sama.
"Hampir 25 peratus bapa turut berisiko mengalami kemurungan selepas anak dilahirkan, tetapi isu ini sering tidak didiagnosis," jelasnya.
Peranan bapa boleh datang dalam pelbagai bentuk sama ada sebagai penjaga utama, salah seorang penjaga utama bersama ibu, atau sebagai penjaga sekunder — Gambar Hiasan/FreePik
Dalam aspek perkembangan bahasa pula, beberapa kajian menunjukkan bahawa penglibatan bapa boleh meningkatkan kemampuan bahasa ekspresif anak pada usia tiga tahun, namun penyelidikan lanjut masih diperlukan bagi menyokong dapatan ini.
Fasa remaja pula sering dianggap mencabar untuk ibu bapa dan anak-anak.
Namun, kajian berskala besar membuktikan bahawa hubungan yang kukuh antara bapa dan anak semasa tempoh ini mampu mengurangkan risiko tingkah laku berisiko, terutama dalam kalangan remaja lelaki dan masalah psikologi dalam kalangan remaja perempuan.
Kesimpulannya, penyelidikan terkini mengesahkan bahawa bapa kini lebih terlibat dalam proses keibubapaan berbanding dahulu.
Justeru, sokongan terhadap cuti penjagaan anak bagi bapa dan intervensi kesihatan mental selepas bersalin harus diperluas bagi memastikan kedua-dua ibu bapa dapat memainkan peranan terbaik dalam membesarkan generasi masa depan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram