
SIKAP prihatin dan tindakan berani seorang pegawai keselamatan yang sanggup melanggar protokol demi menyelamatkan seorang wanita daripada situasi gangguan seorang lelaki dipercayai suami mangsa di ibu kota Kuala Lumpur mencuri perhatian ramai di media sosial baru-baru ini.
Dalam perkongsian yang tular di laman Facebook pada Selasa, individu bernama Nasrullah Salim berkongsi detik cemas yang berlaku ketika dia sedang menjalankan tugas rasmi.
Namun, dia terdorong untuk campur tangan selepas menyaksikan seorang wanita ditarik dan dipaksa oleh seorang lelaki di tempat awam.
BACA LAGI : Tukar lampin, jaga bayi antara risiko buat golongan bapa kemurungan
BACA LAGI : Tayang nama, muka pesalah pedofilia demi keselamatan anak-anak — Pakar
Tindakannya itu bukan sahaja mencerminkan nilai kemanusiaan, tetapi turut menjadi peringatan tegas kepada masyarakat agar tidak berdiam diri apabila berdepan dengan situasi jenayah atau gangguan awam.
Nasrullah dalam catatannya menjelaskan bahawa kejadian tersebut berlaku di tengah-tengah kesibukan kota apabila dia melihat seorang lelaki bertindak agresif terhadap seorang wanita.
Lelaki terbabit dilihat menarik, memaksa dan menghalang wanita itu selain menyebabkan gangguan kepada lalu lintas di kawasan tersebut.
"Untuk pertama kalinya aku melanggar protokol ketika di dalam tugas, walau bagaimanapun keselamatan principal telah diutamakan sebelumnya," tulisnya.
[KLIK GAMBAR UNTUK LINK VIDEO]
Dengan rasa tanggungjawab dan belas ihsan, dia keluar daripada kenderaan tugas dan segera mendekati wanita berkenaan.
Dalam keadaan tegang itu, Nasrullah hanya sempat bertanya, "Are you okay, ma’am?", namun wanita tersebut hanya menjawab ringkas, "Okay," walaupun gerak tubuhnya menggambarkan sebaliknya.
Cerita Nasrullah lagi, dia memilih untuk tidak melayan sebarang komunikasi daripada lelaki terbabit, yang kemudiannya kelihatan tidak berpuas hati.
Lelaki itu cuba mendekatinya dan memberikan ancaman, namun tindakan Nasrullah yang tenang dan bersiap siaga berjaya menenangkan keadaan buat seketika.
"Selepas wanita itu beredar, saya cuba berkomunikasi dengan lelaki ini dengan penuh kesiapsiagaan atas ancaman atau tindakan agresif yang mungkin berlaku," jelasnya.
Situasi semakin genting apabila lelaki berkenaan kembali semula ke lokasi bersama beberapa individu lain serta dipercayai memegang sesuatu di belakang tubuhnya yang disyaki senjata.
"Akhirnya dapat juga menenangkan lelaki tersebut walaupun dia berada di dalam pengaruh (air), dan dia memaklumkan "Ini kes laki bini you tak ada hak campur!", kahwin atau tidak, berlaku di tempat awam, menjadi tanggungjawb kita bersama," katanya.
Nasrullah menyeru orang ramai agar tidak menutup mata atau bersikap tidak peduli apabila berhadapan dengan situasi jenayah atau gangguan terhadap orang awam. — Facebook/ Nasrullah Salim
Ketika itu, Nasrullah memaklumkan kepada pemandu supaya menaikkan cermin kenderaan dan menyerahkan urusan tersebut kepadanya.
"Saya bersedia atas apa juga kemungkinan… hak mempertahankan diri ketika itu sedang berkobar-kobar. Entah nyawa siapa yang Tuhan ambil, tiada siapa yang tahu,” katanya.
Nasrullah bersyukur kerana tiada kejadian tidak diingini berlaku dan situasi dapat dikawal tanpa perlu menggunakan kekerasan.
Namun, pengalaman tersebut mendorong dia untuk berkongsi mesej penting kepada masyarakat.
Nasrullah menyeru orang ramai agar tidak menutup mata atau bersikap tidak peduli apabila berhadapan dengan situasi jenayah atau gangguan terhadap orang awam.
"Jangan biarkan. Bersatu jika kita melihat sesuatu.
"Insya-ALLAH mereka tidak akan berani. Kita terlalu terbiasa tidak kisah, dan membiarkan mereka terus berada dalam echo chamber, hingga mereka anggap apa yang mereka buat itu betul,” tegasnya.
Dia turut menyarankan agar orang ramai segera menghubungi pihak berkuasa dalam situasi kecemasan, kerana menurutnya, pasukan polis mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang membolehkan mereka tiba di lokasi dalam masa 15 minit di kawasan bandar.
Perkongsian Nasrullah kini mendapat perhatian luas warga maya yang rata-rata memuji tindakan beraninya serta menyeru agar masyarakat lebih cakna terhadap keselamatan sesama insan, terutama wanita yang menjadi mangsa gangguan di tempat awam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram