
PENGARAH Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilantik sebagai Ketua Polis Negara baharu.
Pelantikan beliau sebagai Ketua Polis Negara ke-15 bagi menggantikan Tan Sri Razarudin Hussain yang akan menamatkan kontrak bagi jawatan itu pada Ahad ini.
Perkara itu diumumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sempena Majis Serah Terima Tugas Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) pada Jumaat.
Sebelum majlis berlangsung, Mohd Khalid menerima surat pelantikan sebagai Ketua Polis Negara (KPN) dan dianugerahkan pangkat KPN oleh Saifuddin.
BACA LAGI : Selari dengan amalan biasa, Ayob Khan pilihan tepat untuk ketuai PDRM — Penganalisis Jenayah
BACA LAGI : Ketua Polis Negara: Nanti saya tanya Agong — PM Anwar
Susulan berakhirnya majlis itu, Razarudin secara rasmi menamatkan perkhidmatannya sebagai KPN, menandakan tamatnya tempoh dua tahun beliau menerajui pasukan polis.
Dilantik pada 23 Jun 2023, Razarudin berkhidmat sebagai Ketua Polis Negara ke-14, menggantikan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Dilahirkan pada 15 Mac 1963 di Dengkil, Selangor, Razarudin memiliki Ijazah Sarjana dalam Sains Sosial (Pengajian Polis) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Beliau memulakan kerjaya kepolisan pada tahun 1984 sebagai Pegawai Penyiasat di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri Kedah.
Sepanjang perkhidmatannya, beliau memegang pelbagai jawatan penting dalam pasukan polis termasuk Penolong Pengarah Bahagian D9 di JSJ Bukit Aman, Timbalan Komander Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC), Ketua JSJ Pulau Pinang, dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah.
Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Polis Perak selama dua tahun sebelum dinaikkan pangkat sebagai Ketua Polis Perak.
Beliau turut pernah menyandang jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan pada tahun 2021, dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara—jawatan yang disandangnya sehingga dinaikkan ke jawatan tertinggi pada Jun 2023.
Razarudin berkahwin dengan Puan Sri Zainah Othman dan mereka dikurniakan lima orang cahaya mata. — The Star / FARIK ZOLKEPLI dan JUSTIN ZACK
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram