
KEWUJUDAN kumpulan awam di media sosial yang disyaki menjadi lubuk pedofilia atau pemangsa seksual berkumpul dan mengintai mangsa secara senyap mencetuskan kebimbangan masyarakat terhadap keselamatan kanak-kanak.
Manakan tidak, laman Facebook "Group Budak-Budak Sekolah Rendah" yang mengandungi lebih daripada 10,000 yang aktif didakwa memuat naik gambar kanak-kanak dan remaja di bawah umur untuk dijadikan bahan.
Malah lebih menjijikkan lagi, ada dalam kalangan ahli tersebut meninggalkan komen yang lucah dan tidak senonoh.
BACA LAGI : Tayang nama, muka pesalah pedofilia demi keselamatan anak-anak — Pakar
BACA LAGI : [VIDEO] Trend ‘Yes You Can’ TikTok taktik 'grooming' halus, ibu bapa harus waspada
Menurut Pakar Psikologi dan Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Fauziah Mohd Saad berkata, pedofilia adalah penyakit mental kronik yang menyebabkan penghidapnya berasa ghairah apabila melihat kanak-kanak atau gambar mereka.
"Individu sebegitu turut mengalami kecenderungan seksual luar tabii terhadap kanak-kanak, dikenali sebagai paraphilia.
"Namun penting untuk difahami, tidak semua pelaku pedofilia menunjukkan simptom gangguan mental seperti kemurungan atau bipolar kerana ada yang masih mampu membuat keputusan secara rasional.
"Penjenayah seksual yang menyedari mereka mempunyai nafsu pada kanak kanak ini yang berbahaya kepada masyarakat," katanya kepada Majoriti.
Profesor Madya Dr Fauziah Mohd Saad
Dr Fauziah turut menjelaskan perbezaan antara beberapa istilah penting yang sering disalahertikan masyarakat.
"Gangguan seksual terhadap kanak-kanak merujuk kepada perlakuan seksual sebenar atau cubaan terhadap mereka, manakala 'grooming' ialah proses perlahan-lahan membina kepercayaan dengan niat mengeksploitasi kanak-kanak secara seksual.
"Pedofilia pula adalah kecenderungan yang bersifat dalaman yang mana seseorang itu mungkin belum bertindak, tetapi keinginan tersebut tetap wujud dan membimbangkan," tambah beliau.
Dr Fauziah berkata, pedofilia tidak mempunyai ‘penyembuhan’ mutlak, namun penghidapnya masih boleh dibantu melalui rawatan dan pengurusan berterusan bagi mengelakkan dorongan seksual terhadap kanak-kanak diterjemah menjadi jenayah.
Jelaskan, pendekatan utama yang digunakan pakar di seluruh dunia ialah pengurusan tingkah laku, bukannya rawatan penyembuhan.
"Kaedah paling berkesan setakat ini adalah terapi kognitif-tingkah laku (CBT), yang membantu individu mengenal pasti dan mengurus dorongan seksual mereka terhadap kanak-kanak,” katanya.
Dalam kes-kes yang ekstrem, penggunaan ubat juga mungkin dipertimbangkan di bawah pemantauan pakar psikiatri bagi menurunkan libido pesakit.
Menurut Dr Fauziah, negara-negara Barat seperti Kanada dan United Kingdom turut menggunakan pendekatan pemulihan komuniti seperti Circles of Support and Accountability (COSAs) yang menekankan aspek disiplin kendiri serta sokongan sosial untuk mencegah pesalah seksual berulang.
Masih ada harapan
Ada golongan individu yang sedar mereka mempunyai kecenderungan seksual terhadap kanak-kanak tetapi belum melakukan sebarang jenayah. — Gambar Hiasan/Freepik
Tambah Dr Fauziah, terdapat golongan yang sedar mereka mempunyai kecenderungan seksual terhadap kanak-kanak tetapi belum melakukan sebarang jenayah.
Kumpulan ini, katanya, perlu diberi ruang untuk mendapatkan sokongan sebelum bertindak.
"Mereka sedar dorongan itu salah dan berusaha mengawalnya. Di Malaysia, walaupun terbatas, wujud beberapa bentuk bantuan rahsia termasuk terapi di klinik psikiatri swasta dan talian sokongan tanpa nama untuk pedofilia.
"Antara entiti yang pernah menjalankan program sokongan dan kajian psikologi intervensi termasuklah NGO seperti ECPAT Malaysia serta institusi akademik seperti Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).
"Langkah-langkah ini penting bagi mencegah jenayah daripada berlaku sejak awal,” tegasnya.
Cadangan menyeluruh cegah jenayah seksual kanak-kanak
Dalam pada itu, Dr Fauziah turut mengemukakan beberapa cadangan penting sebagai strategi jangka panjang:
- Pendidikan awal kepada anak-anak dan ibu bapa mengenai sempadan tubuh serta keselamatan digital.
- Peningkatan keupayaan penguat kuasa dalam mengenalpasti dan mendakwa kes grooming sebagai kesalahan wajib tanpa kompromi.
- Penyediaan perkhidmatan kaunseling rahsia tanpa stigma untuk individu yang mengesan kecenderungan awal.
- Latihan kepada guru dan pelajar agar lebih celik digital dan tahu cara melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan.
Beliau menegaskan bahawa pendekatan menyeluruh daripada keluarga, sekolah, komuniti dan kerajaan adalah penting bagi membendung jenayah seksual kanak-kanak sebelum ia berlaku. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram