Rasionalisasi subsidi petrol RON95 diteruskan seperti dirancang— Anwar Ibrahim


  • Massa
  • Isnin, 16 Jun 2025

Pelaksanaan rasionalisasi subsidi petrol RON95 akan diteruskan seperti yang dirancang. — Gambar Hiasan

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pelaksanaan rasionalisasi subsidi petrol RON95 akan diteruskan seperti yang dirancang, meskipun berlaku lonjakan harga minyak mentah dunia susulan konflik antara Israel dan Iran.

Menurut Anwar, langkah itu tidak akan membebankan majoriti rakyat negara ini.

"Tiada isu kenaikan harga petrol bagi majoriti rakyat iaitu antara 85 hingga 95 peratus. Adakah kita akan laksanakan? Ya, kerana rasionalisasi subsidi adalah penting untuk masa depan negara.

"Kita mahu sumber yang mencukupi untuk membantu golongan miskin, meningkatkan kualiti pendidikan dan memperbaiki perkhidmatan awam termasuk kesihatan,” katanya selepas merasmikan Energy Asia 2025 pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau turut membidas pembangkang yang didakwanya sengaja mencetuskan naratif negatif terhadap usaha kerajaan melaksanakan rasionalisasi subsidi.

"Apa sahaja yang disebut pembangkang adalah taktik terdesak kononnya rakyat terbeban. Ketika kita perlukan berita positif untuk memacu ekonomi, mereka hanya tabur berita negatif," katanya.

Ketika ditanya sama ada konflik di Timur Tengah dan kenaikan harga minyak mentah global akan menjejaskan ekonomi negara dan kedudukan kewangan kerajaan, Anwar menjelaskan bahawa buat masa ini, impaknya tidak ketara.

"Setakat ini, saya telah berbincang dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) serta pemain utama industri seperti PETRONAS, Total, ENI dan Aramco.

"Mereka memantau situasi dengan teliti, namun ia tidak menjejaskan industri dan mekanisme harga secara ketara. Kita berharap konflik ini dapat diselesaikan lebih awal," jelas beliau.

Untuk rekod, harga minyak mentah dunia melonjak lebih sembilan peratus kepada kira-kira AS$75 (RM318) setong Jumaat lalu, susulan serangan awal Israel ke atas Iran. 

Sebelum itu, harga minyak mentah pernah susut ke bawah AS$65 (RM275) setong tahun lalu.

Sementara itu, Anwar menggesa Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan negara-negara lain agar mengenakan tekanan terhadap Israel supaya menghentikan serangan ke atas Iran serta mengelakkan tindakan balas yang berterusan.

Beliau turut menyatakan pemahaman terhadap tindakan balas Iran yang bersifat pertahanan susulan pencerobohan Israel ke atas beberapa negara jiran mereka.

Namun begitu, Anwar menekankan bahawa kedua-dua negara perlu menghentikan permusuhan demi memastikan keamanan sejagat. — The Star/ MARTIN CARVALHO 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram