
SELEPAS enam minggu kehilangan Datin Seri Pamela Ling Yueh, keluarganya masih belum menerima sebarang perkembangan baharu daripada pihak polis, kata peguam mereka, Sangeet Kaur Deo.
Menurut Sangeet, keluarga Pamela memberikan lebih banyak maklumat daripada yang diminta oleh pihak berkuasa, namun tiada sebarang maklum balas diterima sejak itu.
"Meskipun polis mengambil keterangan daripada 47 individu, namun mereka masih belum mempunyai sebarang petunjuk kukuh," katanya pada Isnin.
BACA LAGI : Keluarga pertikai layanan SPRM terhadap Pamela Ling seolah-olah suspek
BACA LAGI : Mayat wanita dicampak dari van di Lebuh Raya Kesas bukan Pamela Ling — Polis
Sangeet turut mendedahkan bahawa pihak polis memaklumkan kepada keluarga sebuah kenderaan yang dipercayai digunakan dalam penculikan itu ditemui ditinggalkan berhampiran sempadan Thailand.
"Namun, tiada perkembangan lanjut berkaitan penemuan tersebut.
"Sudah berminggu-minggu berlalu, tetapi masih tiada sebarang keputusan daripada ujian forensik terhadap barangan yang ditemukan dalam kenderaan itu," katanya lagi.
Jelas Sangeet, keluarga Pamela hanya dimaklumkan walaupun terdapat kemungkinan besar mangsa dibawa ke luar negara, Interpol masih belum dimaklumkan sehingga beberapa minggu lalu.
"Apa yang sedang ditunggu oleh pihak polis?" soal Sangeet dengan nada kesal.
Untuk rekod, Pamela dijadualkan hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada 9 April lalu bagi membantu siasatan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram.
Namun, Pamela dilaporkan hilang semasa dalam perjalanan ke lokasi tersebut. Peguamnya membuat laporan polis berhubung kehilangan itu pada hari yang sama. — The Star/ Justin Zack
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram