Mengangguk faham, calon SPM didakwa bunuh ibu, abang di Melaka


  • Kes
  • Rabu, 18 Jun 2025

Remaja 17 tahun itu didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada Rabu.

CALON Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang ditahan disyaki membunuh ibu dan abangnya di Melaka didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada Rabu.

Tertuduh diwakili oleh tiga peguam iaitu Cassian Anthony, Francis Augustine Sosay dan E Lee Thian hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani.

Tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian ibu dan abangnya menggunakan pisau lipat pada 12 Jun di Jalan RM 3, Taman Rambai Mutiara, Melaka. Kejadian itu dikatakan berlaku sekitar 5 hingga 5.30 pagi. 

BACA LAGI: Dendam dimarahi kerana markah rendah, remaja 17 tahun suspek utama tikam mati ibu, abang dalam rumah di Melaka

BACA LAGI: Wanita kerja kilang getah ditahan, bantu siasatan kes simbah asid pemilik spa di Bachok

Calon SPM itu dikatakan membunuh ibunya yang merupaka seorang guru. — Awani

Ketika prosiding dijalankan secara tertutup, tertuduh dikenakan tiga pertuduhan. Tuduhan pertama dan kedua mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara maksimum 40 tahun serta sebatan sekurang-kurangnya 12 kali, jika tidak dihukum mati.

Sementara pertuduhan ketiga iaitu sengaja menyebabkan kecederaan terhadap adiknya berusia 13 tahun dengan menggunakan pisau lipat adalah mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dengan tertuduh boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun, denda atau sebatan.

Ketika prosiding, tiada sebarang pengakuan direkodkan oleh tertuduh kerana kes bunuh merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi dan bukannya Mahkamah Majistret.

Sebutan semula bagi kes ini adalah pada 24 Julai, selepas laporan DNA serta hasil bedah siasat mangsa berjaya diperoleh. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram