
NAMPAKNYA, hartawan terkenal Elon Musk dan program satelitnya, SpaceX bakal mempunyai pesaing baharu.
Hal ini kerana, syarikat pengeluar kereta Jepun, Honda sudah mula memasuki bidang tersebut dengan mereka bercita-cita untuk menawarkan perkhidmatan serupa pada masa depan.
Baru-baru ini, Honda berjaya melakukan ujian pelancaran dan mendarat prototaip roket mereka. Lebih menarik, roket tersebut hanya menggunakan roket guna semula (reuseable).
BACA LAGI: Lelaki beli burger, tetapi dapat duit RM2.1juta di McDonald's
BACA LAGI: Tokong atau McDonald, cukup-cukuplah, fokus saja Harimau Malaya'
Dalam eksperimen itu, roket berketinggian 6.3 meter dan seberat 1,312 kilogram (900 kilogram tanpa minyak) berjaya dilancarkan setinggi 900 kaki ke langit.
Eksperimen yang dilakukan di Hokkaido, Jepun menyaksikan roket tersebut mendarat pada 37 sentimeter (14.5 inci) daripada sasaran kawasan mendarat.
Dalam kenyataan dikeluarkan Honda, ujian tersebut adalah untuk mengikut kestabilan roket tersebut semasa ia dilancarkan dan mendarat.
"Ia untuk menunjukkan teknologi utama yang penting bagi penggunaan semula roket, seperti kestabilan penerbangan semasa naik dan turun, serta keupayaan pendaratan," kata Honda.
Namun begitu, roket percubaan yang Honda keluarkan belum lagi dapat menandingi model SpaceX iaitu Falcon 9 yang berketinggian 230 kaki dan sudah menyelesaikan 500 misi angkasa.
Honda secara terbuka mengatakan yang ujian ini masih di peringkat awal walaupun kajian sudah bermula sejak 2021. Mereka masih belum memutuskan untuk menjadikan ia komersial.
"Dalam dunia hari ini, banyak data digunakan, dengan jangkaan yang semakin meningkat terhadap penggunaan sistem data yang lebih meluas di angkasa lepas melalui penggunaan satelit yang diperluaskan.
"Seiring dengan perkembangan ini, keperluan terhadap roket pelancar satelit juga dijangka akan meningkat dalam tahun-tahun mendatang.
"Ia masih berada pada fasa penyelidikan asas, dan tiada keputusan telah dibuat berkaitan pengkomersialan teknologi roket ini," ujar Honda. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram