Wanita kerja kilang getah ditahan, bantu siasatan kes simbah asid pemilik spa di Bachok


  • Kes
  • Khamis, 22 Mei 2025

Mangsa, Nor Faziera Muda perlu menjalani pembedahan empat kali akibat disimbah asid dalam kejadian di premis miliknya di Beris Kubur Besar di Bachok, Kelantan, Sabtu lalu. — Gambar/Malaysiapost.TV

SEORANG wanita dicekup selepas disyaki terlibat dalam kejadian menyimbah asid terhadap pemilik spa sehingga mendatangkan cedera parah di Beris Kubur Besar dekat Bachok, Kelantan pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaludin berkata, suspek yang berusia 38 tahun yang bekerja di kilang getah ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Kuala Krai, Kelantan pada Rabu. 

Menurutnya, serbuan yang dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan kira-kira pukul 4 petang.

BACA LAGI : Pekerja spa cedera disimbah asid lelaki tidak dikenali di Bachok

BACA LAGI : HFMD bukan hanya serang kanak-kanak, golongan dewasa juga berisiko jadi penyebar senyap — Pakar

"Wanita terbabit berada di dalam rumah semasa serbuan dijalankan.

"Kita syak wanita terbabit merupakan salah seorang suspek yang terlibat. Polis sedang mengesan beberapa lagi suspek untuk membantu siasatan,” katanya pada Khamis. 

Jelas Mohamad Ismail lagi, sebelum serbuan, polis melakukan risikan awal di rumah berkenaan.

"Suspek akan dibawa ke Mahkamah Msjistret Bachok pada Khamis untuk mendapat perintah reman.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah," ujarnya. 

Terdahulu, media melaporkan mangsa, Nor Faziera Muda yang berusia 27 tahun perlu menjalani pembedahan empat kali akibat disimbah asid dalam kejadian di premis miliknya di Beris Kubur Besar di Bachok, Kelantan, Sabtu lalu. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram