
SEORANG guru sedang disiasat berikutan satu hantaran di Facebook yang dipercayai menghina mangsa kemalangan tragis melibatkan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Lebuhraya Timur-Barat dekat Gerik, Perak.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman, memaklumkan bahawa satu laporan polis dibuat pada Rabu kira-kira pukul 4.40 petang berhubung hantaran daripada akaun Facebook bernama "Khalid Yunus" yang memuatkan komen berbaur penghinaan terhadap pelajar-pelajar universiti yang terlibat dalam kemalangan maut tersebut.
"Hantaran itu mengandungi komen yang tidak sensitif terhadap mangsa dan mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat.
BACA LAGI : [VIDEO] Pemandu lori maut tersepit, nahas 3 kenderaan berat di Lebuhraya Utara-Selatan
BACA LAGI : Mulut berbau bukan biasa-biasa, petanda masalah dalaman — Pakar
"Kes ini kini sedang disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Dalam masa sama, beliau turut menasihati orang awam agar tidak berkongsi kandungan yang boleh menimbulkan kegusaran atau mengganggu ketenteraman awam.
Hantaran yang tular itu telah mencetuskan kemarahan orang ramai apabila ia mendakwa bahawa 15 pelajar terbabit "mati dalam kehinaan".
Lebih mengejutkan, hantaran itu turut menyatakan bahawa mangsa bukan dalam kalangan orang yang beriman kerana mereka meninggal dunia dalam keadaan masih berhutang dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Bagaimanapun, hantaran tersebut telah dipadam dan individu yang terlibat, iaitu seorang guru, telah tampil membuat permohonan maaf secara terbuka sambil mendakwa dirinya menghidap skizofrenia.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Perak, Khairudin Abu Hanipah, berkata siasatan awal pada Rabu mengesahkan bahawa akaun Facebook yang bertanggungjawab atas hantaran tidak sensitif itu adalah milik seorang guru di sebuah sekolah.
Jabatan Pendidikan Negeri Perak telah mengarahkan sekolah tempat guru tersebut bertugas untuk menyediakan laporan penuh berhubung insiden itu bagi tindakan lanjut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram