Kanak-kanak 6 tahun antara mangsa maut kemalangan lori berhenti di Lipis


  • Kes
  • Jumaat, 13 Jun 2025

Keadaan kereta yang terbabit dalam nahas mengorbankan dua mangsa di Kilometer 37, Jalan Lingkaran Tengah Utama. — Gambar ihsan polis

DUA maut manakala enam lagi cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan lori di Kilometer 37, Jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU) berhampiran Kampung Chegar Perah, Pahang kira-kira pukul 5.30 pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, kereta jenis Proton Wira itu dipandu seorang lelaki berusia 45 tahun bersama tujuh ahli keluarganya dalam perjalanan dari Klang ke Kota Bharu, Kelantan untuk menziarah keluarga.

Akibat perlanggaran itu, penumpang hadapan, Roslawati Mat Daud, 50, dan seorang kanak-kanak lelaki, Aqif Azfar Azman, 6, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

BACA LAGI: [VIDEO] Trauma dikelilingi ratusan mayat, Ramesh mangsa tunggal terselamat nahas Air India hanya cedera ringan

BACA LAGI: Teka-teki terjawab, NSFC umum pelantikan Nidzam Jamil, siap pakej 3 rekrut baharu

“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

“Pemandu kereta dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum melanggar belakang lori yang berhenti di bahu jalan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambah Ismail, pemandu lori berusia 33 tahun bersama kelindannya berhenti di tepi jalan untuk membuang air dan ketika kejadian, mereka dalam perjalanan dari Melaka ke Ketereh, Kelantan untuk menghantar perabot.

Jelasnya lagi, kedua-duanya tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pemandu kereta berusia 45 tahun bersama lima ahli keluarga lain dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan,” katanya.

Katanya lagi, Siasatan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram