
KEMAJUAN teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) kini menjadi alat yang membimbangkan apabila gambar kanak-kanak yang dimuat naik ke media sosial boleh dimanipulasi menjadi bahan lucah, sekali gus membuka ruang kepada jenayah seksual digital.
Lebih membimbangkan, menurut penganalisis jenayah, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim, jenayah pedofilia semakin berleluasa kerana pelaku sering terlepas tanpa dikenali umum.
Justeru itu, beliau bersetuju dengan cadangan segelintir masyarakat yang mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan langkah berani untuk menyiarkan nama dan gambar pesalah seksual secara terbuka sebagai bentuk pencegahan.
BACA LAGI : [VIDEO] Dah tukar sekolah pun masih diganggu, mangsa dedah sisi hitam cikgu pedofil disiasat Mara
BACA LAGI : Selamatkah media sosial buat pewaris negara? Ini pentingnya kawalan ketat persekitaran platform digital
"Ramai yang ulang perbuatan sebab mereka tahu identiti mereka dilindungi. Kalau masyarakat tahu siapa pelaku, kita boleh halang mereka daripada terus mendekati kanak-kanak," katanya kepada Majoriti.
Namun begitu, beliau mengakui pelaksanaan cadangan itu memerlukan pindaan undang-undang agar tidak bercanggah dengan prinsip hak asasi manusia atau membuka ruang kepada tindakan saman terhadap pihak berkuasa.
"Saya setuju jika mahu papar nama pelaku, tapi kita perlukan undang-undang khusus untuk lindungi pihak berkuasa dan elak disaman," ujarnya.
Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim
Tegas beliau lagi, isu pedofilia semakin membimbangkan dan masyarakat, khususnya ibu bapa, perlu berhenti memuat naik gambar anak-anak secara terbuka di media sosial.
Beliau berkata, gambar-gambar kanak-kanak yang dikongsi tanpa kawalan boleh menarik perhatian individu bernafsu songsang, sekali gus membuka ruang kepada jenayah seksual digital.
"Hari ini, gambar-gambar yang disebar di media sosial boleh jadi bahan keseronokan sesetengah pihak. Ia bukan lagi isu remeh, tapi satu jenayah.
"Sejujurnya, ramai lagi masyarakat di luar sana yang tidak sedar sebenarnya perbuatan mereka itu boleh mengundang bahaya," katanya.
Menurutnya lagi, penyebaran gambar kanak-kanak boleh mendatangkan dua ancaman utama iaitu kepada tuan empunya gambar dan risiko menjadi mangsa eksploitasi seksual secara maya.
"Kita bimbang akan ada yang menjadikan gambar-gambar ini sebagai koleksi peribadi, kemudian ia boleh tersebar lebih luas dan membahayakan.
"Tambahan pula sekarang ini dilihat sudah menjadi satu trend yang menjadikan anak-anak atau budak kecil sebagai satu konten hiburan di media sosial.
"Ini sebenarnya mengundang bahaya, mereka seronok ada yang puji anak mereka cantik, comel dan sebagainya tetapi tanpa mereka sedari ada penjenayah yang memerhati," jelasnya.
Undang-Undang wujud, tapi penguatkuasaan perlu diperkukuh
Ibu bapa mesti jadi benteng pertama untuk beri kesedaran bagi mencegah jenayah pedofilia. — Gambar hiasan/Janaan Ai
Mengulas soal perundangan, Datuk Shahul Hamid menjelaskan bahawa Malaysia sudah mempunyai undang-undang untuk mendakwa pesalah seksual, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Kanun Keseksaan.
"Kalau tularkan gambar atau video pun boleh dikenakan tindakan.
"Tapi yang penting, penguatkuasaan mesti konsisten. Jika tidak, jenayah ini akan terus berlaku," ujarnya.
Saksi enggan tampil
Datuk Shahul turut mengakui pihak berkuasa terutamanya polis berdepan cabaran besar apabila kebanyakan mangsa dan saksi enggan tampil memberikan keterangan, sekali gus menyukarkan pendakwaan.
"Kes-kes macam ini memang rumit. Kadang-kadang ada bukti, tapi saksi malu atau takut.
"Selagi pelaku tidak dibawa ke mahkamah dan dihukum, jenayah ini akan berulang,” katanya.
Beliau menyeru mangsa agar tidak takut atau malu kerana keengganan untuk tampil hanya akan membolehkan penjenayah terus bebas dan mengulangi perbuatan mereka.
Pendidikan seksual perlu, tapi berpada
Mendidik kanak-kanak tentang bahaya eksploitasi seksual perlu dilakukan secara berhemah dan mengikut peringkat umur. — Gambar Hiasan/JanaanAi
Beliau menyokong usaha mendidik kanak-kanak tentang bahaya eksploitasi seksual, namun menegaskan bahawa ia perlu dilakukan secara berhemah dan mengikut peringkat umur.
"Peringkat prasekolah mungkin hanya cukup diberi pendedahan asas seperti kenal pasti sentuhan selamat dan tidak selamat.
"Jangan sampai keterlaluan hingga menimbulkan rasa ingin tahu berlebihan pula," jelasnya.
Namun, katanya, peranan paling penting tetap terletak di bahu ibu bapa.
"Didikan awal harus bermula dari rumah. Sekolah boleh bantu, tapi ibu bapa mesti jadi benteng pertama untuk beri kesedaran," tambah beliau.
Amaran tentang Teknologi AI
Menurutnya lagi, teknologi kecerdasan buatan (AI) turut meningkatkan risiko apabila gambar yang kelihatan ‘tidak bersalah’ boleh dimanipulasi menjadi bahan lucah.
"Hari ini dengan AI, gambar anak kita pun boleh diubah jadi gambar lucah.
"Jadi ibu bapa perlu lebih berhati-hati, jangan terlalu ghairah kongsi gambar anak atau cucu yang comel di media sosial," katanya memberi peringatan.
Menutup bicara, beliau menegaskan pentingnya kawalan kendiri dan sikap bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial.
"Kadang-kadang kita sendiri buka ruang kepada jenayah berlaku. Sebelum perkara buruk terjadi, lebih baik kita cegah dari awal," katanya.
Ibu bapa perlu berhenti memuat naik gambar anak-anak secara terbuka di media sosial. — Gambar Hiasan/ Janaan Ai
Terdahulu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menggesa orang ramai agar melaporkan segera kewujudan halaman pedofilia di media sosial yang memaparkan imej murid sekolah, serta kandungan lucah dan tidak bermoral yang berkaitan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kementerian memandang serius laporan media berhubung kewujudan halaman tersebut.
Menurut beliau, KPM membuat laporan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada 10 Jun lalu bagi tindakan lanjut.
"Kewujudan halaman media sosial yang memaparkan kandungan lucah dan tidak bermoral perlu dibendung. Ia perlu segera dilaporkan dan diambil tindakan," pada Jumaat. —Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram