SEORANG wanita menyelar tindakan bekas gurunya yang didakwa masih lagi mengganggu pelajar dengan menghantar mesej berunsur lucah dan juga seorang pedofilia.
Dalam satu hantaran di laman media sosial X (Twitter), wanita itu turut mendakwa guru di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat di Kelantan masih mengajar secara bebas walaupun tindakannya pernah 'kantoi' dalam kalangan pelajar beberapa kali sebelum ini.
Katanya lagi, walaupun kejadian itu sudah 10 tahun berlalu namun tindakan guru itu meninggalkan kesan mendalam terhadapnya sehingga menjadi trauma.
"Saya merupakan salah pelajar di sekolah tersebut pada tahun 2013 dan dia (guru) adalah seorang pedofilia.
"Saya melihat sendiri bagaimana cikgu berkenaan mengganggu rakan baik saya dengan mengeluarkan kata-kata yang kurang sopan dan 'double meaning'," katanya kepada Majoriti.
Wanita itu mendakwa guru di MRSM Tumpat itu masih mengajar secara bebas walaupun tindakannya pernah dibongkar pelajar beberapa kali sebelum ini. — Twitter Mangsa
Tambahnya lagi, guru tersebut menyasarkan pelajar perempuan dilihat berpotensi menjadi mangsanya.
"Dia seorang yang jijik, hanya memilih pelajar yang cantik sahaja.
"Walaupun saya sudah berpindah sekolah dia masih menghubungi saya dan mesej yang bukan-bukan.
"Bukan saya seorang sahaja kena, ramai lagi pelajar perempuan yang menjadi mangsa," katanya.
Tambahnya lagi, tujuan dia mendedahkan guru berkenaan di media sosial bukanlah berniat untuk memburukkan institusi pendidikan tersebut tetapi memberi amaran kepada pelajar perempuan yang lain.
"Saya tidak mahu apa yang cikgu itu lakukan pada saya dan rakan-rakan terjadi pada pelajar lain.
"Tiada niat nak memburukkan MRSM Kelantan tetapi hanya mahu cikgu tersebut diambil tindakan tegas agar menjadi pengajaran pada orang lain," ujarnya.
Sementara itu, Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan membuat siasatan secara menyeluruh terhadap seorang guru yang didakwa terlibat dengan kes pedofilia ke atas murid di institusi berkenaan.
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pasukan dari Ibu Pejabat Mara akan turun ke sekolah berkenaan bagi menyiasat kesahihan dakwaan tersebut.
"Saya telah mengarahkan siasatan menyeluruh berhubung perkara itu dan perlu dijalankan segera.
"Dalam pada itu, guru berkenaan digantung tugas sehingga siasatan selesai," katanya menerusi hantaran di aplikasi X. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram