[VIDEO] Iran teruskan fasa serangan misil, Haifa jadi sasaran


  • Benua
  • Ahad, 15 Jun 2025

Angkatan Bersenjata Iran melancarkan satu lagi pusingan serangan balas ke atas Israel dalam tindakan yang digelar sebagai "Operation True Promise 3 pada Sabtu. — Agensi

KETEGANGAN di Asia Barat kembali memuncak apabila Angkatan Bersenjata Iran melancarkan satu lagi pusingan serangan balas ke atas Israel dalam tindakan yang digelar sebagai "Operation True Promise 3," menurut laporan agensi berita rasmi Iran, IRNA.

Serangan yang bermula lewat malam Sabtu waktu tempatan itu menyaksikan pelancaran peluru berpandu dan dron ke arah beberapa sasaran penting di dalam Israel, termasuk kawasan strategik di Haifa.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), serangan kali ini adalah kesinambungan daripada gelombang tindak balas terhadap serangan pendahuluan yang didakwa dilakukan oleh Israel pada hari sebelumnya.

BACA LAGI: [VIDEO] Iran serang balas Israel selepas komander tentera tertinggi, 6 saintis nuklear antara 78 maut

BACA LAGI: [VIDEO] Israel serang tapak nuklear, markas tentera Iran

Seperti serangan terjadi sebelum itu, suasana panik melanda rakyat Israel apabila video rakaman menggunakan telefon pintar menunjukkan cahaya terang dari langit dipercayai peluru berpandu Iran melintasi ruang udara Haifa sebelum letupan kuat berlaku.

Laporan awal mengesahkan kilang penapisan minyak di Haifa berjaya disasarkan dan mengalami kerosakan serius.

Difahamkan, tindakan itu adalah tindak balas langsung selepas Israel terlebih dahulu menyerang infrastruktur tenaga Iran pada pagi Sabtu.

Terdahulu, beberapa siri serangan balas oleh Iran menyebabkan kemusnahan besar di Tel Aviv dan Baitulmaqdis, meningkatkan kebimbangan global terhadap kemungkinan berlakunya konflik berskala penuh.

Dalam perkembangan berkaitan, rejim Israel dilaporkan melancarkan serangan balas ke atas sebuah depoh minyak di barat Tehran sehingga menyebabkan kebakaran besar.

 

 

 

Kementerian Minyak Iran turut mengesahkan sebuah tangki minyak di selatan negara itu turut menjadi sasaran, namun tidak mendedahkan butiran lanjut.

Sementara itu, Kesatuan Eropah (EU) mengeluarkan satu kenyataan rasmi mengenai situasi yang semakin meruncing di Timur Tengah, menyeru semua pihak menahan diri daripada tindakan yang boleh memburukkan keadaan.

Ketegangan tercetus selepas Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, mengesahkan bahawa pihaknya melancarkan serangan pendahuluan terhadap Iran pada Jumaat lalu.

Iran kemudiannya membalas serangan itu dengan melancarkan peluru berpandu dari wilayahnya sendiri.

Susulan keadaan yang tidak menentu itu, enam warga Kazakhstan dipindahkan keluar dari Iran melalui sempadan Azerbaijan.

Negara itu juga telah mengeluarkan nasihat perjalanan kepada rakyatnya agar menjauhi Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan negara-negara Teluk Parsi buat masa ini.

Situasi itu juga dijangka terus mencetuskan kegusaran masyarakat antarabangsa, terutama dengan kebimbangan terhadap keselamatan dan kestabilan serantau yang kini tergugat. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram