Nahas bas UPSI: Mohd Amirul mengaku tak bersalah atas 15 pertuduhan memandu secara berbahaya


  • Kes
  • Jumaat, 13 Jun 2025

Mohd Amirul (tengah) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

PEMANDU bas ekspres yang terlibat dalam kemalangan sehingga mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu secara berbahaya.

Dalam pertuduhan yang dibacakan pada Jumaat, Mohd Amirul Fadhil Zulkifli, 39, mengaku tidak bersalah berkenaan 15 pertuduhan yang dikenakan terhadapnya di hadapan Majistret Muhammad Firdaus Nor Azlan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di KM 53 Lebuhraya Timur-Barat sekitar 1.15 pagi pada Isnin. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

BACA LAGI: Guru disiasat keluarkan kenyataan hina mangsa kemalangan bas UPSI

BACA LAGI: Nahas pelajar UPSI: Permit bas dipajak individu asal Kelantan RM500 sebulan

Kemalangan di Jalan Gerik-Jeli pada Isnin mengorbankan 15 penuntut UPSI yang mahu pulang ke kampus.

Jika sabit kesalahan, Mohd Amirul boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun serta denda RM50,000.

Dalam masa yang sama, Mohd Amirul turut dituduh atas kesalahan memandu secara berbahaya mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 namun dia tidak mengaku bersalah.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan denda sekitar RM5,000 hingga RM10,000. Malah, lesen memandu boleh digantung sekurang-kurangnya selama lima tahun.

Semasa kejadian, bas yang membawa 42 pelajar UPSI dari Jertih, Terengganu ke kampus terletak di Tanjong Malim, Perak terbabas sebelum melanggar sebuah Perodua Alza.

Seramai 13 penuntut meninggal dunia di tempat kejadi sementara dua lagi semasa di hospital. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram