
MAJLIS Perbandaran Manjung (MPM) bertindak pantas dalam memastikan Pantai Teluk Senangin tidak dipenuhi dengan kerusi-kerusi dan meja-meja yang mencacatkan pemandangan.
Hasil aduan orang awam, MPM melancarkan operasi menyita barang-barang tersebut selepas perkara tersebut menjadi tular di media sosial.
Dalam kenyataan dikeluarkan oleh MPM, operasi yang dilakukan pada Rabu itu melihatkan mereka melakukan enam sitaan.
Dalam operasi tersebut yang turut disertai oleh wakil daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung, MPM merampas 220 kerusi, 19 meja kayu, sebuah meja besi, sebuah payung, 25 pelampung dan tiga khemah.
Sitaan tersebut dilakukan mengikut Seksyen 46(1)(d), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) yang melarang sebarang bentuk halangan di tempat awam.
Menurut MPM, semua barangan yang dirampas dibawa ke Depoh Simpanan Sementara MPM dengan pengusaha diambil tindakan oleh mereka kerana beroperasi tanpa lesen dan kebenaran majlis.
MPM menegaskan yang mereka cuma mengeluarkan 10 permit dengan hanya tiga pengusaha yang aktif sementara tujuh lagi tidak.
Antara syarat untuk memperoleh permit adalah pengusaha tidak boleh meletakkan peralatan sewaan sebelum sewaan dibuat dan tidak dibenarkan mengutip bayaran bagi sewaan lain-lain peralatan atau penggunaan tapak yang tidak berkaitan dengan aktiviti sewaan kerusi pelampung.
MPM menegaskan yang mereka tidak pernah melantik mana-mana pihak untuk mengutip bayaran kepada pengunjung pantai selaras dengan hasrat mereka menjadikan kawasan tersebut boleh diakses oleh semua orang.
"MPM tidak pernah melantik, memberi kuasa, atau mengeluarkan sebarang permit kepada mana-mana individu, persatuan atau organisasi untuk mengutip bayaran daripada pengunjung pantai. Sekiranya terdapat mana-mana pihak yang mendakwa mereka dibenarkan berbuat demikian, ia adalah satu tindakan yang tidak sah dan menyalahi undang-undang.
"MPM memandang serius terhadap perkara ini kerana ia melibatkan hak awam untuk mengakses kawasan rekreasi secara bebas tanpa kos tambahan yang tidak wajar. Sebagai Pihak Berkuasa Tempatan yang bertangunggjawab terhadap pengurusan kawasan pelancongan di daerah ini, MPM sentiasa komited untuk memastikan setiap lokasi rekreasi kekal sebagai ruang yang selesa, mesra rakyat dan bebas daripada sebarang unsur pemerasan atau caj tidak sah," ujar MPM. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram