
SEORANG lelaki nyaris kehilangan dompetnya selepas tertinggal di atas bumbung kereta ketika mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor pada Ahad.
Menurut isterinya, kejadian berlaku sejurus selepas mereka beredar kira-kira 500 meter dari stesen minyak tersebut. Pasangan itu menyedari dompet telah hilang dan segera membuat pusingan U untuk kembali ke lokasi.
“Lepas gerak dalam 500 meter, baru perasan wallet tiada. Terus pusing balik sambil tengok replay dashcam. Memang wallet dah terbang atas jalan,” katanya dalam satu hantaran di platform Thread.
BACA LAGI: [VIDEO] Pemandu 'lalok' rempuh kereta di Kluang sudah ditahan, ada 3 rekod jenayah — Polis
BACA LAGI: Polis sahkan mayat lelaki UK hilang ditemukan dekat kawasan pembinaan di Bangsar
Bagaimanapun, dompet berkenaan tidak lagi kelihatan apabila mereka kembali ke kawasan berkenaan.
Namun, kejutan manis menanti apabila seorang individu tidak dikenali rupa-rupanya telah menemui dompet tersebut dan mengambil inisiatif menghantarnya terus ke alamat yang tertera pada kad pengenalan.
Difahamkan, penghantaran dilakukan ketika ibu bapa pemilik dompet tidak menyedari kehadiran tetamu berkenaan. Mujur jiran berhampiran yang menyedari situasi itu tampil membantu mengambil dan menyerahkan dompet berkenaan.
Keluarga tersebut kini berharap dapat menjejak individu berhati mulia yang membantu menghantar dompet itu, bagi menyampaikan ucapan terima kasih secara peribadi kepadanya.
Kejadian itu mendapat perhatian ramai di media sosial, dengan warganet memuji kejujuran dan keprihatinan individu yang terlibat dengan ia sekali lagi menjadi bukti bahawa nilai murni masih wujud dalam masyarakat hari ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram