Pemandu lori punca nahas FRU ditahan semula sejurus dibebaskan sebab kes curi lembu


  • Kes
  • Isnin, 19 Mei 2025

Rudi dibebaskan dengan ikat jamin RM6,000.

PEMANDU lori yang didakwa menyebabkan kematian sembilan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Perak minggu lalu dibebaskan dengan ikat jamin.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, majikan pemandu terbabit, Rudi Zulkarnain Md Radi membayar ikat jamin RM6,000 di Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Isnin.

"Dia akan dibebaskan dari lokap balai polis daerah Hilir Perak tidak lama lagi. Kami difahamkan majikan dan beberapa rakan mengumpul wang untuk membayar ikat jamin," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin. 

BACA LAGI: Pemandu lori direman, 5 anggota FRU terlibat nahas masih kritikal

BACA LAGI: [VIDEO] Jangan terus imbas, scammer letak surat saman ‘Akta Pengangkutan Jalam’ dekat parkir pasar raya

Rudi Zulkarnain, 45, mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan menyebabkan kematian dengan memandu secara berbahaya di Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Jumaat lalu.

Tertuduh pada mulanya tidak dapat membayar ikat jamin dan ditahan sehingga sebutan mahkamah seterusnya pada 17 Jun depan.

Dalam kejadian di Jalan Chikus-Sungai Lampam pada Selasa lalu, sembilan anggota FRU maut dan sembilan lagi cedera dalam kemalangan membabitkan lori dipandu Rudi.

Daripada mereka yang cedera, enam masih dirawat di hospital, dengan lima di Hospital Teluk Intan dan seorang di Hospital Raja Permaisuri Bainun, manakala selebihnya telah dibenarkan keluar.

Dalam perkembangan terbaharu, suspek ditahan semula kira-kira pukul 12.20 tengah hari sejurus di pekarangan Mahkamah Majistret Teluk Intan sejurus dibebaskan.

Ketua Polis Daerah Bagan Datuk, Superintendan Mohammad Ali Mohd Jali dalam kenyataan berasingan berkata, penahanan semula itu dibuat berhubung siasatan kes curi lembu.

“Tangkapan ini dibuat susulan laporan polis diterima pada 14 April lalu berkaitan kehilangan dua ekor lembu di Kampung Sungai Keli, Hutan Melintang,” katanya.

Menurut beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Ujarnya, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Teluk Intan, esok bagi membantu siasatan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram