Asalkan tidak busuk, ini hukum simpan daging korban, cara betul simpan dalam peti sejuk


  • Mukmin
  • Jumaat, 30 Jun 2023

Korban merupakan satu ibadah yang disunatkan kepada umat Islam yang dilakukan pada bulan Zulhijjah iaitu pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah. — Bernama

IBADAH korban adalah termasuk dalam tuntutan ke atas umat Islam.

ALLAH berfirman dalam Surah al-Hajj ayat 37 yang bermaksud: “Daging dan darah haiwan korban itu tidak akan sampai kepada ALLAH, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas berdasarkan taqwa daripada kamu.”

Ia merupakan satu ibadah yang disunatkan kepada umat Islam yang dilakukan pada bulan Zulhijjah iaitu pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Setiap kali sambutan Hari Raya Aidiladha, sudah pasti ramai dalam kalangan masyarakat menerima daging korban daripada orang sekeliling.

Namun timbul persoalan, adakah umat Islam boleh menyimpan daging korban lebih daripada tiga hari?

Bagi menjawab persoalan tersebut, pendakwah, Syed Shahridzan Syed Mohamed menjelaskan, menyimpan daging korban lebih daripada tiga hari pernah dilarang oleh Rasulullah SAW.

Bagaimanapun, ujarnya, larangan tersebut sudah dimansuhkan atas faktor perubahan situasi sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Nawawi dalam kitabnya, Raudah Al-Tolibin.

"Boleh/harus seseorang menyimpan sebahagian daripada daging korban. Rasulullah SAW pernah melarang menyimpan (daging korban) lebih dari tiga hari, kemudian baginda mengizinkannya," katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya.

WhatsApp Image 2023-06-29 at 11.30.08 PM

Larangan Rasulullah SAW yang melarang daging korban disimpan melebihi tiga hari sudah dimansuhkan atas faktor perubahan situasi. — Bernama

Menurut mazhab Syafie diharuskan menyimpan daging korban walaupun melebihi tiga hari asalkan daging itu tidak rosak atau busuk sehingga menyebabkan pembaziran.

"Tiada masalah jika daging korban yang akan dimakan oleh sendiri dan keluarga boleh disimpan selama mana pun. Namun tidak digalakkan daging korban yang ingin disedekahkan atau dihadiahkan disimpan dalam tempoh yang lama kerana ia sunat diagihkan secepat mungkin," katanya.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan (KKM) turut berkongsi tip penyimpanan daging dengan cara yang betul untuk mengelakkannya daripada dicemari kuman, bendasing dan bahan pencemar lain.

Antaranya, tidak memasukkan terus daging bersama plastik yang tidak bersih ke dalam peti sejuk dan mengasingkan simpanan daging dengan bahan sedia dimakan seperti aiskrim bagi mengelakkan pencemaran silang berlaku.

Sebelum disimpan, daging tidak perlu dibasuh kerana jika dibasuh guna air paip, kuman boleh masuk dan tinggal dalam pori-pori daging. Basuh daging bila kita mahu masak daging tersebut. Simpan daging dalam peti sejuk beku

WhatsApp Image 2023-06-29 at 11.31.27 PM

Antara tip menyimpan daging korban dengan cara yang betul. — KKM

Selain itu, umat Islam digalakkan untuk meletakkan daging yang diterima di bahagian sejuk beku dengan suhu sama atau kurang daripada -18 darjah celsius serta membuang bendasing yang terlekat pada daging seperti daun pisang, pasir dan serpihan kayu.

"Daging juga perlu dipotong kepada bahagian lebih kecil dan dimasukkan ke dalam bekas plastik berpenutup mengikut kegunaan biasa di rumah dan pastikan daging tersebut disimpan dalam keadaan yang bersih pada suhu yang bersesuaian bagi mengekalkan kualiti daging.

"Sentiasa amalkan lihat, hidu dan rasa sebelum makan," jelasnya.

Justeru, umat Islam yang menerima daging korban disarankan untuk mematuhi saranan penyimpanan bagi mengekalkan kualiti, kebersihan dan kesegarannya sepanjang tempoh penyimpanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram