
"MENDERU air mata Acu bila dengar takbir…” Itulah luahan hiba Azura Yunus Zura yang juga waris kepada lima sekeluarga yang maut dalam kemalangan tragis di Kilometer 7, Jalan Jerantut–Maran, Terengganu awal pagi Sabtu.
Azura yang merupakan saudara terdekat kepada kesemua mangsa tidak dapat menahan kesedihan selepas menerima berita tragedi berdarah itu apatah lagi nahas itu berlaku ketika umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha yang sepatutnya menjadi hari penuh kesyukuran dan kemeriahan.
"Menderu air mata Acu bila dengar takbir. ALLAH lebih sayangkan kamu semua.
"Macam tak percaya kamu semua sudah tak ada (meninggal dunia). ALLAH..ALLAH..ALLAH," tulisnya di laman Facebook miliknya pada Sabtu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Zukri Muhammad berkata, dalam kejadian kira-kira awal pagi Sabtu itu , lima mangsa menaiki sebuah kereta Perodua Bezza dikenali sebagai Mohamad Ikmal Ishak, 26, isterinya Nur Arfiqah Aziz Jaafar, 23, serta tiga adik iparnya, Mohammad Zulkifli, 21, Mohamad Azizul Hakimi, 19, dan Nurul Hazwani, 17.
"Kesemua mereka dilaporkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah selepas kenderaan yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah Toyota Alphard.
"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Bezza terbabit membuat pusingan U secara mengejut sebelum dirempuh dari arah bertentangan.
"Tiga individu yang menaiki MPV Toyota Alphard itu hanya mengalami kecederaan ringan. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan pada Sabtu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram