Hukum guna wang zakat untuk ibadah korban


  • Mukmin
  • Jumaat, 24 Jun 2022

Menggunakan wang zakat untuk membeli daging korban ia seperti mengambil hak orang lain iaitu asnaf.

IBADAH korban merupakan salah satu sunnah muakad yang sangat dianjurkan untuk dilakukan oleh umat Islam terutamanya untuk yang kemampuan.

Menunaikan ibadah korban dilakukan dengan menyembelih binatang seperti unta, lembu, kerbau dan kambing pada Hari Raya Aidil Adha iaitu tanggal 10 Zulhijjah dan hari-hari Tasyrik semata-mata untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.

Perintah berkorban terkandung dalam Firman ALLAH dalam Al-Quran, Surah Al Kautsar ayat 1-3 yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu (Muhammad) nikmat yang banyak. Maka solatlah untuk Tuhanmu dan berkorbanlah (sebagai ibadah dan mendekatkan diri kepada ALLAH). Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu itulah yang terputus (dari rahmat ALLAH)."

Di sebalik ibadah sunnah itu, timbul juga persoalan dalam kalangan umat Islam sama ada dibolehkan untuk melakukan ibadah korban dengan menggunakan wang zakat.

Menjawab persoalan itu, Ketua Jabatan Dakwah dan Perundingan, Divisyen Syariah dan Dakwah, Lembaga Zakat Selangor, Hamizul Abdul Hamid berkata, perkara itu tidak dibenarkan kerana ibadah zakat dan korban mempunyai tatacara yang berbeza.

“Tidak boleh untuk gunakan wang zakat untuk buat korban,” katanya kepada Majoriti.

Menurutnya, jika menggunakan wang zakat untuk membeli daging korban ia seperti mengambil hak orang lain iaitu asnaf.

Tambahnya, muzakki tidak boleh menentukan bagaimana cara asnaf untuk menggunakan wang yang diberikan kepada mereka.

Muzakki ialah orang yang dikenakan kewajiban membayar zakat atas kepemilikan harta yang telah mencapai nishab dan haul.

“Asnaf tu lebih arif apa keperluannya. Bagi asnaf fakir miskin, mendapat wang zakat lebih utama dari daging korban. Daging bukan keperluan asasi. Tetapi beras dan telur lebih asasi bagi mereka. Bagaimana nak beli beras dan telur jika mereka diberi daging korban?

“Membeli lembu korban dengan zakat juga seolah-olah saudara mengambil kesempatan secara tidak wajar demi kepentingan diri sendiri. Sedangkan sepatutnya ibadah korban perlu dilakukan dengan wang lain bukannya wang zakat yang jelas sudah ditentukan penerimanya,” jelasnya.

Tambahnya, dalam Mazhab Hanafi juga menyebut bahawa diwajibkan berkorban (melakukan ibadah korban) untuk seorang Muslim yang mampu.

"Kemampuan itu diukur menerusi kelayakan zakat seseorang," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram