
BERHAMPIRAN kota suci Makkah, ratusan jemaah lelaki berjubah putih berbaris panjang dalam suasana tenang, menanti giliran untuk menjalani salah satu amalan penting ibadah haji iaitu mencukur rambut.
Amalan mencukur atau memotong rambut dilakukan menjelang akhir ibadah haji, dan menandakan detik di mana jemaah boleh menanggalkan pakaian ihram yang melambangkan kesucian dan penyerahan diri kepada ALLAH SWT.
Sebuah kedai gunting yang dibuka khas sempena musim haji, terletak berhampiran kompleks Jamarat di Mina yang juga merupakan lokasi ibadah melontar syaitan yang berlangsung pada hari Jumaat turut menjadi tumpuan ribuan jemaah setiap tahun.
BACA LAGI : Menitis air mata 'terserempak' wajah persis arwah nenek di Makkah, doa dimakbulkan
BACA LAGI : [VIDEO] 'Umi pergi sebagai tetamu ALLAH, dijemput di tanah paling mulia'
Menurut pengurusnya, Imad Fawzi, yang juga pegawai organisasi haji, kedai itu lazimnya melayan sehingga 6,000 pelanggan pada hari ketiga haji, yang turut bertepatan dengan sambutan Aidiladha.
Di dalam premis itu, tukang gunting lelaki yang memakai apron plastik sibuk mencukur kepala jemaah secara berterusan menggunakan pencukur elektrik dan pisau cukur lurus.
Caj dikenakan ialah 60 riyal (sekitar RM75) seorang.
Meskipun pelanggan tidak putus-putus dan aliran perlu dikawal oleh penyambut tetamu, Ahmed, 28, tukang gunting dari Mesir, menyifatkan pekerjaannya sebagai satu kebahagiaan.
"Ini kerja yang sangat mudah, tetapi ia memberi kegembiraan besar kepada kami.
"Kami bangga dapat berkhidmat kepada para jemaah, dan lebih bermakna apabila dapat melakukannya di tempat suci seperti ini," katanya.
Fawzi, yang membesar di Makkah, pula menyifatkan dirinya sebagai 'anak haji'.
"Saya sudah bekerja setiap musim haji sejak usia tujuh tahun," katanya.
Sunnah didahulukan
Haji merupakan perjalanan spiritual yang menelusuri jejak akhir Rasulullah SAW, bermula dari Masjidil Haram dan Arafah sebelum ke Mina. — Gambar Hiasan/Agensi
Kedai itu bukan satu-satunya lokasi mencukur. Sebahagian kawasan di Mekah dan dataran Mina turut berubah menjadi "salun terbuka" ketika tempoh ini.
Kelihatan seorang jemaah dari Asia Tenggara mengeluarkan pencukur dan mencukur belakang kepalanya sambil berjalan meninggalkan kawasan Jamarat.
Beberapa meter dari situ, sekumpulan jemaah dari Afrika pula saling mencukur rambut menggunakan mesin pencukur.
Di dalam Makkah pula, jalan-jalan tertentu dipenuhi dengan kedai gunting yang meraih keuntungan lumayan.
Bagi jemaah lelaki, mereka mencukur keseluruhan kepala manakala wanita pula memotong sehelai dua rambut, sekadar sepanjang hujung jari.
Tahun ini, lebih 1.6 juta jemaah dari seluruh dunia membanjiri kota Makkah dan kawasan sekitarnya bagi menunaikan ibadah haji, rukun Islam kelima yang wajib ditunaikan sekali seumur hidup bagi umat Islam yang berkemampuan.
Di luar kedai gunting Jamarat, jemaah dari Mesir, Hani Abdel Samih, meluahkan rasa lega kerana akan menanggalkan pakaian ihramnya selepas tiga hari.
"Melontar jamrah memerlukan tenaga besar, dan kami memakai ihram ini sepanjang hari. Kami mahu kembali berpakaian biasa agar lebih selesa," katanya.
Bagaimanapun, dia tidak kisah menunggu giliran untuk bercukur kerana menganggap ia sebagai detik rohani yang sangat istimewa.
“Sudah tentu saya teruja! Ini sunnah Nabi Muhammad SAW. Kami sukakan amalan ini dan tidak akan meninggalkannya,” ujarnya sambil tersenyum.
Haji merupakan perjalanan spiritual yang menelusuri jejak akhir Rasulullah SAW, bermula dari Masjidil Haram dan Arafah sebelum ke Mina untuk melontar jamrah yang merupakan ibadah simbolik melawan godaan syaitan dengan melempar batu ke tiga tiang besar di Jamarat. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram