
HATI mungkin bukan organ pertama yang terlintas di fikiran apabila bercakap tentang kesihatan, tetapi hakikatnya, ia merupakan antara organ paling penting dan paling sibuk dalam tubuh manusia.
Walaupun bersaiz sederhana, hati menjalankan ratusan tugas penting setiap hari, termasuk menapis toksin, menghasilkan hempedu, menyimpan tenaga dan mempertahankan tubuh daripada jangkitan.
Namun begitu, ramai orang masih kurang memberi perhatian kepada kesihatan hati, sehinggalah timbul masalah serius yang mungkin sudah berada di peringkat kritikal.
Tambahan pula, penyakit hati sering kali tidak menunjukkan gejala pada peringkat awal, menjadikannya lebih berbahaya kerana kerosakan boleh berlaku secara senyap dan berpanjangan.
BACA LAGI : Ada 5 cara, ibu bapa bimbing anak-anak kawal 'anxiety' dengan lebih sihat
BACA LAGI : [VIDEO] Sapu muka dengan krim buasir? Pakar dedah risiko bahaya trend TikTok
Bagi memahami dengan lebih jelas tentang fungsi dan kepentingan organ ini, Pakar Perubatan Keluarga dari Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Dr. Chow Suet Yin berkongsi pandangan beliau mengenai bagaimana hati menyelamatkan nyawa manusia setiap hari.
Dr. Chow Suet Yin
Menurut Dr. Chow, hati memainkan pelbagai fungsi penting termasuk:
1. Detoksifikasi
Hati menghasilkan enzim untuk memecah dan menyingkirkan bahan buangan metabolik melalui air kencing dan najis. Jika fungsi ini gagal, bahan toksik seperti bilirubin boleh terkumpul dan menyebabkan penyakit kuning, malah dalam kes serius, koma.
2. Pencernaan
Organ ini turut menghasilkan hempedu, cecair penting untuk menghadam lemak serta menyimpan vitamin larut lemak A, D, E dan K. Kekurangan hempedu boleh menyebabkan masalah seperti rabun malam, tulang rapuh, masalah otot dan gangguan pembekuan darah.
3. Imuniti
Hati mengandungi sel Kupffer yang bertindak sebagai barisan pertahanan menapis virus dan bakteria dari sistem pencernaan. Ini penting dalam mencegah jangkitan dan keradangan dalaman.
4. Metabolisme
Ia menyimpan glukosa dalam bentuk glikogen dan melepaskannya semula apabila badan memerlukan tenaga. Hati juga menghasilkan protein pembekuan darah serta albumin untuk mengekalkan jumlah bendalir dalam badan.
Hati Boleh Pulih Sendiri? Tidak sepenuhnya.
Jelas Dr Chow lagi, walaupun hati dikenali sebagai satu-satunya organ yang boleh tumbuh semula, kemampuan itu bukanlah tanpa had.
"Gaya hidup tidak sihat seperti pengambilan alkohol berlebihan, pemakanan tinggi lemak tepu, obesiti serta penyalahgunaan ubat atau suplemen boleh merosakkan hati secara perlahan-lahan," katanya dalam satu kenyataan pada Majoriti.
Beliau turut menegaskan bahawa ubat tradisional dan herba yang diambil tanpa nasihat pakar boleh memberi tekanan kepada hati, apatah lagi jika diambil dalam jangka panjang.
Pemeriksaan kesihatan secara berkala juga amat penting untuk mengesan masalah hati lebih awal. — Gambar Hiasan/IMU
Kenali tahap penyakit hati
Dr. Chow turut menerangkan perkembangan penyakit hati yang biasanya bermula dengan hati berlemak (fatty liver) dan ia merupakan suatu keadaan tanpa gejala yang hanya dikesan melalui imbasan.
"Jika tidak dirawat, ia akan berkembang menjadi keradangan dan parut, menyebabkan simptom seperti keletihan dan sakit perut.
"Seterusnya, fibrosis berlaku apabila tisu parut semakin banyak, sekali gus menjejaskan fungsi hati.
"Tahap paling kritikal ialah sirosis, di mana kerosakan menjadi kekal dan boleh membawa kepada kanser hati atau kegagalan hati. Antara gejalanya termasuk jaundis, mudah lebam, muntah darah, kekeliruan dan kelemahan menyeluruh," katanya.
Langkah perlindungan hati
Justeru itu, Dr. Chow menasihatkan agar masyarakat menitikberatkan gaya hidup sihat demi menjaga kesihatan hati.
Ini termasuk mengamalkan pemakanan seimbang, mengurangkan makanan diproses, mengekalkan berat badan yang sihat, bersenam secara berkala dan mendapatkan tidur yang mencukupi.
Beliau turut mengingatkan agar berhati-hati dengan pengambilan suplemen atau ubat tradisional kerana kandungan bahan aktif yang tidak dikawal boleh membebankan organ hati.
Menutup bicara, Dr. Chow menegaskan agar orang awam untuk melakukan pemeriksaan kesihatan tahunan.
"Paling penting, lakukan pemeriksaan kesihatan berkala untuk memastikan hati dalam keadaan baik. Pemeriksaan kesihatan secara berkala juga amat penting untuk mengesan masalah lebih awal.
"Akhirnya, kesedaran dan tindakan proaktif dalam menjaga hati bukan sahaja menyelamatkan organ tersebut, tetapi juga menyelamatkan nyawa,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram