[VIDEO] 'Atas kehendak ALLAH', doa lelaki Libya tunai haji termakbul walau diuji kerana bernama Al Gaddafi, pesawat rosak


  • Benua
  • Rabu, 28 Mei 2025

Amer bersama juruterbang dan kru pesawat yang tular di laman media sosial. — Agensi

NAMA Muammar Gaddafi merupakan bekas pemimpin Libya yang pernah digeruni dunia. Namanya sinonim dengan pemerintahan diktator, konflik perang dan kontroversi antarabangsa.

Namun, siapa sangka, selepas lebih sedekad setelah kejatuhannya nama itu masih 'berhantu', sampai boleh menyebabkan seseorang terlepas pesawat ke Makkah untuk menunaikan ibadah haji.

Itulah yang berlaku kepada Amer Al Mahdi Mansour Al Gaddafi, seorang lelaki Libya yang berniat suci untuk menunaikan ibadah Haji, tetapi terkandas di lapangan terbang gara-gara nama keluarga yang diwarisinya.

BACA LAGI: [VIDEO] Elak risiko keselamatan, jemaah umrah jangan suka-suka bawa balik pasir dari Makkah

BACA LAGI: [VIDEO] 'Saya nak ibu sentuh Multazam', lelaki nekad 2 kali tawaf sambil gendong emak di Makkah

Apa yang pada mulanya merupakan perjalanan biasa bagi Amer untuk menunaikan haji bertukar menjadi ujian apabila dia ditahan di kaunter imigresen semasa pemeriksaan keselamatan.

Nama keluarga Amer 'Al Gaddafi' dikesan dalam sistem keselamatan lapangan terbang, menyebabkan dia ditahan untuk siasatan lanjut.

"Kami akan cuba selesaikan masalah ini untuk anda, tetapi anda perlu tunggu bersama kami sebentar," kata petugas lapangan terbang kepadanya.

 

 

 

Sementara kumpulannya menaiki pesawat, Amer masih ditahan di kaunter imigresen.

Namun selepas isu keselamatan diselesaikan, juruterbang pesawat enggan membuka pintu untuknya dan memutuskan untuk berlepas tanpa Amer, lapor Gulf News.

Walaupun pegawai keselamatan cuba memujuknya, Amer enggan meninggalkan lapangan terbang. 

"Saya berniat untuk menunaikan haji, dan Insya-ALLAH saya akan pergi," katanya kepada pegawai berkenaan.

Tidak lama selepas berlepas, pesawat itu mengalami kerosakan teknikal dan terpaksa berpatah balik. 

 Walaupun dibaiki, juruterbang tetap enggan membenarkan Amer menaiki pesawat untuk kali kedua.

Wajah gembira Amer ketika dia dibenarkan menaiki penerbangan ketiga ke Makkah seperti yang diimpikannya. — Agensi

 

Anehnya, pesawat sekali lagi berdepan masalah dan mendarat buat kali kedua. Ketika itulah kapten akhirnya 'mengalah' dan berkata:

"Saya bersumpah tidak akan terbang lagi kecuali Amer bersama kami," kata kapten berkenaan.

Pihak berkuasa akhirnya membenarkan Amer menaiki penerbangan ketiga, dan dia akhirnya tiba di Makkah seperti yang diimpikannya.

"Saya hanya mahu menunaikan Haji. Jika Allah dah tetapkan, tiada siapa boleh halang," kata Amer penuh syukur.

Beberapa video dan gambar Amer bersama kru pesawat kini tular di media sosial, menjadi simbol ketabahan dan keikhlasan seorang tetamu ALLAH. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram