
RASA mengantuk hingga hampir tertidur ketika berdiri atau di meja kerja bukanlah perkara luar biasa, terutama sekitar waktu petang apabila badan mula keletihan.
Dalam masyarakat yang sibuk dan rutin tidur yang tidak menentu, ramai yang menganggap rasa letih itu dan tidur siang berlebihan itu sebagai sebahagian daripada kehidupan moden.
Namun, kajian terbaru mendedahkan bahawa rasa mengantuk yang berlebihan, khususnya dalam kalangan warga emas, mungkin menjadi petanda awal kepada penyakit demensia atau lebih dikenali dengan penyakit nyanyuk.
BACA LAGI : Otak cerdas walaupun usia lanjut, ketahui 5 rahsianya
Kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan, Neurology melibatkan pemantauan corak tidur seramai 733 wanita berusia 80-an menggunakan alat pengesan tidur khas.
Sepanjang tempoh susulan selama kira-kira lima tahun, seramai 164 peserta mengalami gangguan kognitif ringan, manakala 93 daripada mereka disahkan menghidap demensia.
Para penyelidik mendapati bahawa mereka yang mengalami lonjakan dalam rasa mengantuk, termasuk kecenderungan untuk tidur siang secara berlebihan, mempunyai risiko dua kali ganda untuk mengalami demensia.
Penemuan ini membawa kepada kesimpulan bahawa perubahan dalam corak tidur termasuk rasa mengantuk yang semakin bertambah dari masa ke masa dan mungkin menjadi petunjuk awal kepada perkembangan penyakit tersebut.
Kekurangan tidur yang berkualiti boleh menjejaskan keupayaan mengingat dan menyusun semula maklumat, menyebabkan memori mudah terganggu. — Gambar hiasan/Freepik
Walaupun begitu, pakar menegaskan bahawa keletihan adalah perkara biasa bagi warga emas dan tidak semestinya menandakan masalah kesihatan yang serius. Namun, apabila rasa mengantuk berlaku secara berterusan dan melampau, ia wajar diberi perhatian.
Pakar neurologi dari Providence Saint John’s Health Center di Santa Monica, California, Dr. Clifford Segil menjelaskan bahawa hubungan antara tidur dan demensia masih belum difahami sepenuhnya oleh komuniti perubatan.
Katanya, walaupun begitu, tidur memainkan peranan penting dalam proses pengukuhan memori serta kesihatan tubuh secara menyeluruh.
Beliau menekankan bahawa tidur malam yang berkualiti jauh lebih penting berbanding tidur siang, khususnya bagi individu dalam lingkungan umur 80-an.
Tambah beliau lagi, dalam kalangan warga emas, kekurangan tidur yang berkualiti boleh menjejaskan keupayaan mengingat dan menyusun semula maklumat, menyebabkan memori mudah terganggu.
Dr. Clifford Segil
Menurut Dr. Segil, rasa mengantuk yang berlebihan juga mungkin berpunca daripada masalah kesihatan lain seperti obstructive sleep apnea, iaitu gangguan tidur yang menyebabkan seseorang bernafas secara tidak teratur semasa tidur.
Keadaan ini sering menyebabkan individu berasa mengantuk sepanjang hari kerana tidur malam mereka tidak menyegarkan.
Selain itu, penyakit seperti narkolepsi, anemia, kemurungan, serta kekurangan vitamin tertentu juga boleh menyebabkan seseorang mengalami keletihan yang berterusan.
Oleh itu, beliau menyarankan agar sesiapa yang mengalami simptom tersebut tampil untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.
Dalam masa yang sama, kajian turut mengingatkan orang ramai agar lebih peka terhadap simptom-simptom awal demensia yang lain.
Warga emas yang mula mengalami masalah daya ingatan, kekeliruan, kesukaran bertutur atau memahami, kehilangan minat terhadap aktiviti harian, serta menunjukkan perubahan dalam tingkah laku, seharusnya diberi perhatian sewajarnya.
Rasa mengantuk yang berlebihan juga mungkin berpunca daripada masalah kesihatan lain seperti gangguan tidur yang menyebabkan seseorang bernafas secara tidak teratur semasa tidur. — Gambar Hiasan/Agensi
Beberapa kes melibatkan halusinasi, delusi, dan perubahan dalam keseimbangan tubuh juga dilaporkan sebagai sebahagian daripada gejala awal demensia.
Pakar menyarankan agar rasa mengantuk yang berpanjangan tidak diambil mudah, terutama jika ia berlaku secara konsisten tanpa sebab yang jelas.
Pemeriksaan awal oleh pakar kesihatan dapat membantu mengenal pasti punca sebenar dan mungkin menjadi langkah penting dalam mencegah masalah yang lebih serius pada masa hadapan.
Walaupun rasa letih itu mungkin dianggap biasa dalam kalangan orang tua, kajian ini memberikan peringatan bahawa tubuh sentiasa memberi isyarat kepada kita.
Menyedari perubahan kecil seperti kerap mengantuk mungkin menjadi kunci kepada pencegahan penyakit yang lebih besar, termasuk demensia. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram