
MALAYSIA mencatat sejarah baharu dalam arena sukan permotoran dunia apabila diumumkan sebagai destinasi pembukaan Kejuaraan Dunia FIM Supercross (WSX) 2025, dengan perlumbaan sulung dijadual berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 18 Oktober depan.
Pengumuman bersejarah itu dibuat menerusi laman sosial rasmi @fimwsx pada Rabu, sekali gus menjadikan Kuala Lumpur satu-satunya lokasi perlumbaan di benua Asia bagi musim perlumbaan yang akan meliputi lima benua.
Ketua Pegawai Eksekutif Data Sukan Sdn Bhd, Shamil Yusof, menyifatkan penganjuran itu sebagai bukti kemajuan Malaysia dalam sukan bertaraf antarabangsa serta lonjakan positif terhadap imej negara sebagai tuan rumah acara global.
BACA LAGI: Pramugari, bekas tentera buktikan wanita mampu kuasai kerjaya golongan lelaki, terbang di awan biru
BACA LAGI: 'Check' mak ayah jika kerap rasa mengantuk, berkemungkinan tanda-tanda awal demensia
"Kami amat teruja untuk mengalu-alukan Kejuaraan Dunia FIM Supercross ke Kuala Lumpur.
"Ia adalah bukti peningkatan status Malaysia dalam dunia sukan dan kami berazam memberikan pengalaman luar biasa kepada peminat serta menjulang nama negara di pentas dunia,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
MALAYSIA mencatat sejarah baharu dalam arena sukan permotoran dunia apabila diumumkan sebagai destinasi pembukaan Kejuaraan Dunia FIM Supercross (WSX) 2025, dengan perlumbaan sulung dijadual berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 18 Oktober depan. pic.twitter.com/rX3mPJ4BB6
— Nadine Ardine (@MoMoT_Nadine) June 6, 2025
Menurutnya, kehadiran WSX di Malaysia akan turut melengkapkan bulan penuh aksi sukan permotoran apabila Grand Prix Motosikal Malaysia 2025 dijadual berlangsung seminggu selepasnya, menjadikan ia sebagai 'double-header' hebat buat rantau Asia Tenggara.
Kuala Lumpur bakal membuka tirai musim WSX 2025 sebelum siri jelajah diteruskan ke Buenos Aires, Argentina (8 November), Vancouver, Kanada (15 November), Gold Coast, Australia (29 November), dan menutup kempen di Cape Town, Afrika Selatan pada 13 Disember.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WSX, Tom Burwell berkata, pemilihan Malaysia sebagai lokasi pembukaan musim menandakan satu fasa baharu bagi pengembangan global sukan supercross.
"Kalendar 2025 adalah detik penentu buat WSX.
"Buat julung kalinya, perlumbaan elit supercross akan dibawa ke lima benua. Ini akan menjadi musim terbesar dan terbaik kami setakat ini," ujarnya.
Dalam pada itu, Pengarah FIM Motocross Commission, Antonio Alia Portela, turut menyatakan keyakinan terhadap langkah WSX yang disifatkannya sedang membuka lembaran baharu dalam sukan itu.
"Perlumbaan pembukaan di Stadium Merdeka yang ikonik sebelum berakhir di Cape Town akan menjadi saksi kepada persaingan hebat pelumba terbaik dunia dalam memburu gelaran Juara Dunia," katanya.
Antara juara bertahan musim lalu ialah Eli Tomac (450cc), Shane McElrath (250cc) serta Pasukan Fire Power Honda, yang dijangka bakal berdepan cabaran lebih getir musim ini.
Tiket pra-jualan dan maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi laman rasmi kejuaraan di https://wsxchampionship.com. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram