
LEBIH dua dekad sudah berlalu, namun kejadian tsunami yang melanda negara masih lagi menjadi parut hitam yang tidak dilupakan oleh mangsa.
Detik hitam itu terus membekas dalam ingatan terutama bagi mereka yang kehilangan insan tersayang dalam tragedi Disember 2004 tersebut.
Namun bagi Siti Fairuz Zulkifli, 36, parut itu kembali berdarah apabila gambar ayahnya, Zulkifli Mohd Noor yang pernah meratap pilu atas pemergian lima anak dalam tragedi berkenaan disalah guna.
BACA LAGI : ‘Hilang 5 anak serentak tsunami badai Pulau Pinang 2004, hentikanlah gurauan guna sticker ini’
Menurut Siti Fairuz, dia sendiri sudah lama memendam rasa apabila gambar bapanya disunting dan disalah gunakan individu tidak bertanggungjawab sehingga dijadikan bahan gurauan di media sosial.
"Gambar itu dirakam waktu ayah saya ditemu bual wartawan, beberapa hari selepas kejadian tsunami. Dia kehilangan lima anak dalam satu hari.
"Namun kini gambar itu dijadikan pelekat WhatsApp, meme dan gurauan yang sangat melukakan,” katanya kepada Majoriti.
Siti Fairuz (tengah) bersama dua orang adiknya.
Fairuz berkata, pada awalnya, dia enggan melayan perkara tersebut, namun lama-kelamaan rasa terkilan semakin menebal apabila gambar tersebut terus dimanipulasi dan dikitar semula tanpa rasa empati.
"Mula-mula dulu saya tak ambil kisah sangat sebab dah lama, tapi bila orang mula komen tak senonoh, cipta berita palsu kononnya ayah saya menangis sebab anak tak balik raya, saya rasa terkesan.
"Itu ayah saya, bukan bahan lawak sehinggakan ada satu ketika ia menjadi bahan fitnah.
"Ayah bukan saja kehilangan anak, tapi turut dihina bila gambar ditokok tambah dan dijadikan konten media sosial," katanya sebak.
Ayah tak marah tapi pendam
Ditanya sama ada ayahnya menyedari gambarnya dijadikan bahan jenaka, Siti Fairuz menjelaskan ayahnya yang kini berusia 63 tahun tidak aktif di media sosial dan tidak menyedari gambar itu dijadikan bahan jenaka.
"Ayah tak ada Facebook, WhatsApp pun jarang guna. Selalunya dia dapat tahu dari kawan-kawan dan saudara mara.
"Bila diberitahu tentang gambar itu, dia hanya mendiamkan diri. Malah dia sendiri selalu berpesan kepada kami untuk tidak 'ambil pusing' tentang gambar itu," katanya lagi.
Fairuz berkata, meskipun tidak meluahkan kemarahan, dia tahu bapanya itu memendam perasaan apabila terus diperlakukan sebegitu rupa.
"Ayah saya bukan jenis suka marah tapi bila ada orang beritahu gambarnya dijadikan bahan lawak, dia akan termenung depan almari anak-anak. Dia tengok baju, mainan, semua masih disimpan. Kadang-kadang dia senyap lama... saya tahu dia sedih,” ujarnya.
Gambar Zulkifli Mohd yang sedang menangis pilu akibat kehilangan lima orang anak dalam tragedi tsunami 2004 telah disunting menjadi bahan gurauan. — Gambar/Facebook
Lebih mengecewakan, Fairuz mendedahkan ada pihak turut menyebarkan cerita palsu bahawa ayahnya sudah berkahwin lain dan mempunyai keluarga baharu.
"Macam-macam orang kata. Kononnya ayah saya menangis sebab isteri lari, ada anak baharu. Hakikatnya ayah tak pernah kahwin lain pun. Kami hanya tiga beradik saja , saya, adik lelaki dan adik bongsu,” jelasnya.
Fairuz turut menceritakan bagaimana ibunya turut tersentuh dan kecewa apabila gambar lama itu kembali menjadi tular di laman sosial.
"Masa kali terakhir gambar itu tular, saya tunjuk kepada mak saya. Dia terdiam lama, kemudian bertanya mengapa orang sanggup buat macam ni? Saya pun tak tahu nak jawab,” katanya.
Mengimbau semula detik hitam itu, Fairuz berkata, kejadian berlaku ketika keluarganya bercuti di kawasan pantai berdekatan Pondok Upeh, Balik Pulau.
Hanya dia yang ketika itu berusia 16 tahun, dan adik bongsunya, Siti Zulaikha yang baru berusia setahun, terselamat.
Lima lagi adik-beradiknya yang terkorban ialah Siti Nurain (17), Mohd Shukri (12), Siti Nur Shuhada (10), Siti Nur Atikah (9) dan Siti Suraya (5).
"Saya ingat semuanya lagi. Suasana kelam-kabut, mak menangis, ayah tak berhenti mencari.
"Saya tak akan lupa bila ayah duduk seorang diri dan mula menangis bila nama-nama anak dia disahkan tiada," katanya.
Menurut Fairuz (kiri), ayahnya imasukkan ke unit rawatan rapi selepas terjatuh motosikal ketika ke kebun baru-baru ini.
Teruskan hidup walau diuji
Fairuz berkata, bapanya masih bekerja sebagai pemandu bas biarpun kesihatannya semakin uzur.
Malah, baru-baru ini Zulkifli dimasukkan ke unit rawatan rapi selepas terjatuh motosikal ketika ke kebun.
"Doktor suruh rehat sebab kaki dia dah tak kuat, tapi dia tak boleh duduk diam. Dia nak kerja, dia nak jumpa kawan-kawan. Katanya duduk rumah buat dia sedih," jelasnya.
Walaupun keluarga mereka sudah lama cuba bangkit daripada tragedi itu, Fairuz berharap orang ramai menghormati kesedihan dan kenangan pahit yang mereka alami.
"Kami tak minta simpati. Tapi tolonglah hormat. Kalau tak mampu bantu, jangan sakiti. Gambar tu gambar arwah adik dan ayah saya. Tolong jangan jadikan ia bahan lawak," pintanya menutup bicara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram