
DESAKAN agar kerajaan mewajibkan pemasangan jeriji besi di semua tingkap dan koridor rumah bertingkat semakin mendapat perhatian ramai, susulan kerapnya kejadian kanak-kanak maut akibat terjatuh dari kediaman tinggi pada Khamis.
Lebih memilukan lagi, mangsa yang berusia empat tahun maut dipercayai terjatuh dari tingkat 30 sebuah pangsapuri di Jalan Jalil Impian 1 Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Walaupun kes tersebut masih dalam siasatan pihak polis, mangsa dipercayai terjatuh dari balkoni kediaman bertingkat itu.
Susulan daripada kejadian itu, seorang pengguna Facebook, Eikin Syahmi menggesa kerajaan mewajibkan pemasangan jeriji besi atau grill di tingkap dan koridor semua kediaman bertingkat.
"Tolonglah, pihak kerajaan wajibkan pemasangan grill atau jeriji besi di tingkap, koridor di semua kondominium, pangsapuri, apartment, flat dan semua rumah tinggi.
"Luluh hati saya setiap kali dengar berita begini," luahnya
Pemasangan jejaring keselamatan seperti jeriji besi atau grill adalah amat penting bagi keselamatan kanak-kanak. — Gambar Hiasan
Seorang lagi pengguna X (Twitter), Kamal @lias turut senada dengan Eikin.
Katanya, pemasangan jejaring keselamatan seperti jeriji besi atau grill adalah amat penting memandangkan banyak rumah bertingkat tinggi yang dibangunkan di kawasan bandar.
"Kerajaan mungkin patut menggubal satu undang-undang yang mewajibkan pemasangan peralatan keselamatan seperti jeriji di tingkap dan pintu kediaman tinggi.
"Saya faham ada yang tidak mampu dan mungkin boleh bincang dengan pemaju," cadangnya.
Ketika ini, tiada peruntukan undang-undang khusus yang mewajibkan pemasangan jeriji keselamatan di premis kediaman bertingkat, melainkan jika ditetapkan oleh pihak pengurusan bangunan atau pemaju.
Insiden ini sekali lagi mencetuskan persoalan besar tentang keutamaan keselamatan dalam pembangunan perumahan, terutama bagi keluarga yang memiliki anak kecil. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram