[VIDEO] Cuaca panas, tayar pancit tak gugat semangat Amar, Qobin capai misi ke Tanah Suci


  • Hiburan
  • Rabu, 28 Mei 2025

Amar dan Qobin kini hampir menamatkan misi kembara Journey to Tanah Haram apabila dijangka tiba di Madinah dalam tempoh terdekat.

PELAKON Amar Baharin dan penjelajah Grand Slam Negara, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin kini hampir menamatkan misi kembara Journey to Tanah Haram apabila dijangka tiba di Madinah dalam tempoh tiga hingga empat hari lagi.

Mereka kini berada di wilayah Qassim selepas menyempurnakan kayuhan dari Riyadh ke Al-Ghat, dan sedang bersiap sedia menempuh laluan sejauh 120 hingga 150 kilometer (km) dari Hanakeyah ke Madinah.

Misi itu, yang bermula dari Padang Besar, Perlis dan merentasi beberapa negara termasuk Thailand, Iran serta Emiriah Arab Bersatu (UAE), menggunakan gabungan pengangkutan darat dan udara.

BACA LAGI : Elak guna laluan Myanmar-Bangladesh, Qobin dan Amar Baharin kayuh basikal ke Tanah Suci Makkah penghujung April

BACA LAGI :  'Bahagia cara kita', pasangan pengantin rai hari istimewa cara paling 'simple'

"Cuaca panas mencecah 51 darjah Celsius dengan tiupan angin kuat dari hadapan menjadikan kayuhan sangat mencabar. Namun setiap kali kami diuji, pasti hadir pertolongan daripada Allah melalui insan yang membantu," kata Amar menerusi satu kenyataan pada Rabu. 

(Dari kiri) Qobin dan Amar semakin teruja apabila kayuhan berbasikalnya dalam misi kembara Journey to Tanah Haram kini tinggal beberapa hari lagi untuk sampai ke pintu masuk Madinah.

Menurut Amar, antara kejadian yang menyentuh hati termasuk insiden tayar basikal pancit yang sering berlaku berdekatan bengkel atau tempat berteduh.

"Seolah-olah segalanya telah diatur. Ada yang memberi kami air, makanan, malah wang saku dan semuanya tanpa kami minta," katanya.

Lebih mengharukan, katanya, mereka beberapa kali ditawarkan penginapan secara percuma oleh rakyat Malaysia di UAE dan Arab Saudi, yang melayan mereka bak tetamu kehormat.

"Sepanjang perjalanan, kami berusaha untuk tidak menyusahkan sesiapa. 

"Namun bantuan yang datang terlalu ikhlas dan luar jangkaan. Setakat ini, perbelanjaan kami tidak melebihi RM12,000 kerana begitu ramai yang menghulurkan bantuan," katanya lagi.

Sementara itu, Muhamad Muqharabbin yang lebih dikenali sebagai Qobin memaklumkan laluan asal mereka yang merangkumi India dan Pakistan terpaksa diubah pada saat akhir atas nasihat Kedutaan Malaysia susulan ketegangan di kedua-dua negara berkenaan.

"Perjalanan asal dirancang melalui India dan Pakistan sebelum ke Iran. 

"Tetapi seminggu sebelum bertolak dari Bangkok, kami diberi nasihat keselamatan dan terpaksa mengubah laluan. Ini membuktikan bahawa manusia merancang, tetapi ALLAH yang menentukan," katanya.

Ujarnya lagi, misi tersebut bukanlah bertujuan mencipta rekod atau melibatkan ekspedisi rasmi itu dilepaskan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail tetapi merupakan satu perjalanan spiritual dua sahabat ke Tanah Suci menggunakan usaha dan dana sendiri.

Qobin turut berkongsi pengalaman mengalami kekejangan satu badan akibat cuaca ekstrem dan terpaksa berehat selama dua malam di pekan Qassim.

"Saya sudah minum banyak air, tetapi tetap mengalami kekejangan otot. 

"Kami mohon doa semua agar baki perjalanan ini dipermudahkan. Sokongan di media sosial terutama di TikTok, Instagram dan Facebook sangat memberi kekuatan," ujarnya.

Mereka dijangka tiba di Madinah pada 31 Mei atau 1 Jun ini dan turut merancang untuk berkongsi kisah penuh perjalanan tersebut dalam bentuk dokumentari sebaik pulang ke tanah air.

"Perjalanan ini penuh pengajaran, tentang keimanan, ketabahan dan kebaikan hati manusia terhadap musafir," kata Amar.

Orang ramai boleh mengikuti perkembangan terkini mereka menerusi Instagram Amar Baharin dan Qobin (@dqobin).  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram