
GARA-GARA menaikkan harga roti kentang pada tahun lalu, sebuah syarikat pengeluar roti dikenakan denda sebanyak RM60,000 oleh Mahkamah Sesyen Klang, Selangor pada Isnin.
Memetik laporan Buletin TV3, hukuman itu diputuskan Hakim Sharifah Hascindie Syed Omar selepas syarikat itu selaku Orang Kena Saman (OKS) yang diwakili pengarahnya, Khu Kim Chai, 67, menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan semula kes itu.
OKS membayar denda itu selepas prosiding berkenaan pada hari yang sama.
BACA LAGI : [VIDEO] Orang awam jadi hero, bekerjasama dengan suami mangsa cekup peragut di Rawang
BACA LAGI : [VIDEO] Rakaman pelantar minyak terbakar bukan berlaku di Sarawak, tiada kematian dilaporkan
Mengikut pertuduhan, syarikat beralamat di Klang itu didakwa mencatut dalam menjual barangan roti kentang dengan menaikkan harga jualan dari RM3.35 kepada RM3.51.
Tindakan itu menyebabkan kenaikan kepada margin keuntungan bersih sebanyak RM0.16 daripada RM1.89 kepada RM2.05.
Kesalahan itu dilakukan di syarikat berkenaan di Taman Klang Utama pada 27 Mei tahun lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang dibaca bersama Per 3(b) Peraturan -Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan ( Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Yang Tidak Munasabah) 2018 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM500,000 sekiranya disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Muhamad Saiful Saaidin manakala OKS diwakili peguam, Mohd Ridzuan Omar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram