Majoriti pemburu haram rakyat Malaysia, segera lapor jika ada iklan mencurigakan jual beli hidupan liar — PERHILITAN


  • Massa
  • Jumaat, 30 Mei 2025

Hairulazim (kiri) bersama petugas-petugas PERHILITAN pada siri pertama Jelajah Sawit Hijau MPOGCF di Aman Central, Kedah, Sabtu lalu.

DI sebalik keseronokan melihat petugas Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) berinteraksi dengan haiwan, siapa sangka ia satu kerjaya yang tidak mudah.

Bukan mengejar glamor atau mahukan perhatian, malah tugas di jabatan itu sangat menarik untuk diterokai dengan lebih dalam.

Bercerita tentang peranan dan tanggungjawab mereka, Penolong Pengarah PERHILITAN Kedah, Ahmad Hafizul Hakim Mohd Shahar berkata, jabatan itu terbahagi kepada dua bidang utama iaitu Pemuliharaan Hidupan Liar dan Penguatkuasaan Undang-undang.

BACA LAGI: Kurangkan memandu selepas pukul 7 malam di JRTB Gerik-Jeli antara saranan MEME elak tragedi berulang, wujud harmoni gajah dan manusia

BACA LAGI: [VIDEO] Jelajah Sawit Hijau MPOGCF beri impak positif, bantu dedah ilmu pemuliharaan sawit dan hidupan liar kepada masyarakat tak kira latar belakang

Ahmad Hafizul (kiri) ketika sesi podcast bersama Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud (dua dari kanan) dan penyampai radio Suria FM pada Jelajah Sawit Hijau di Aman Central, Sabtu lalu.

Menurutnya, tanggungjawab PERHILITAN juga untuk menjalankan kerja-kerja perlindungan dan pemuliharaan hidupan liar dan perkara-perkara yang berkaitan.

Ahmad Hafizul memberitahu, tanggungjawab mereka juga perlu memastikan perlindungan dan pemuliharaan spesies-spesies yang semakin terancam demi masa depan alam sekitar negara.

"Sebab itu, pelbagai kempen kesedaran awam dilaksanakan untuk memulihara haiwan terancam seperti harimau Malaya, gajah Asia dan beruang matahari.

"Syukur, hasilnya sangat memberangsangkan kerana kami dapati masyarakat kini semakin prihatin dan menunjukkan sokongan terhadap kesejahteraan spesies terancam.

"Ini perkembangan positif yang amat kami hargai,” katanya ketika ditemui pada siri pertama Jelajah Sawit Hijau oleh Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) di Aman Central, Alor Setar, Kedah, baru-baru ini.

Pendedahan tentang haiwan liar kepada pengunjung di Aman Central.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan bahawa aktiviti pemburuan haram masih berlaku.

Katanya, beberapa insiden melibatkan pembunuhan dan eksploitasi anggota haiwan seperti gading gajah, taring dan kulit harimau.

"Laporan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) menyatakan bahawa jenayah hidupan liar berlaku bukan sekadar di Malaysia, malah turut menjejaskan spesies dari negara lain.

"Jika terjumpa sebarang iklan jual beli hidupan liar yang mencurigakan di dalam talian atau secara fizikal, laporkan segera ke pihak PERHILITAN untuk kita ambil tindakan sewajarnya demi selamatkan khazanah negara kita," gesanya.

Mengulas lanjut tentang pemburu haram, Ahmad Hafizul menjelaskan bahawa aktiviti itu dilakukan secara supply (penawaran) dan demand (permintaan).

Aktiviti pemburuan haram yang perlu dihentikan bagi menjaga kesejahteraan khazanah alam. — Gambar hiasan/Agensi

Jelasnya, pasaran gelap hidupan liar itu bukanlah kegiatan bermusim, malah ia bergantung kepada permintaan.

"Selagi wujudnya permintaan maka, bekalan akan ada. Laporan jabatan pada 2023 juga mencatatkan bahawa hampir 80 peratus tangkapan kita melibatkan warganegara Malaysia, selebihnya pula warga asing.

"Jadi, bagi menangani jenayah, PERHILITAN komited menjalankan aktiviti penguatkuasaan melalui kerjasama agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perhutanan, Jabatan Kastam dan lain-lain agensi dalam menjalankan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di seluruh kawasan panas yang dikenal pasti," katanya.

Selaras dengan moto PERHILITAN iaitu 'Hidupan Liar Untuk Generasi Akan Datang', Ahmad Hafizul meminta orang ramai terutama golongan muda untuk menyumbang bakti demi kelestarian khazanah negara.

Usaha itu juga dijalankan dengan kerjasama MPOGCF menerusi siri Jelajah Sawit Hijau dengan tagline Konservasi Kunci Sawit Mampan di empat zon. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram