Kurangkan memandu selepas pukul 7 malam di JRTB Gerik-Jeli antara saranan MEME elak tragedi berulang, wujud harmoni gajah dan manusia


  • Massa
  • Rabu, 28 Mei 2025

Pengunjung siri pertama Jelajah Sawit Hijau MPOGCF di Aman Central, Kedah didedahkan dengan maklumat tentang kehidupan liar terancam seperti gajah.

INSIDEN menyayat hati melibatkan seekor anak gajah yang maut dilanggar sebuah lori di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli pada 11 Mei lalu menjadi antara peristiwa paling diingati sehingga kini.

Lebih merutun jiwa apabila melihat reaksi ibu gajah cuba menyelamatkan dan setia menunggu anaknya yang tersepit di bawah lori selama beberapa jam sebelum dipindahkan pihak Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (⁠PERHILITAN).

Mengulas kembali tragedi tersebut, Penyelidik Utama Pengurusan dan Ekologi Gajah Malaysia (MEME), Dr Wong Ee Phin berkata, ia bukan sahaja menyentuh emosi, malah menunjukkan betapa eratnya ikatan kasih sayang antara ibu dan anak dalam spesies megafauna seperti gajah.

BACA LAGI: Serupa tapi tak sama, burung pungguk jelapang 'wira' senyap, ganti racun hapuskan tikus perosak di ladang sawit

BACA LAGI: [VIDEO] Jelajah Sawit Hijau MPOGCF beri impak positif, bantu dedah ilmu pemuliharaan sawit dan hidupan liar kepada masyarakat tak kira latar belakang

Keadaan ibu gajah setia menunggu anaknya yang terperosok di bawah lori.

Menurutnya, sifat, naluri dan emosi yang ada pada gajah sangat mirip dengan manusia.

Katanya, naluri kekeluargaan dan empati gajah juga tinggi sehingga mampu memberi kesan mendalam kepada haiwan itu.

"Memang ada dokumentasi saintifik yang menunjukkan gajah Afrika dan gajah Asia boleh mengingati ahli kumpulan mereka yang mati.

"Tempoh mengandung untuk ibu gajah adalah 18 hingga 22 bulan dan tempoh gajah sebagai bayi, remaja dan pradewasa agak lama.

"Ada juga berlaku kelakuan gajah selepas berlaku kematian yang ditafsirkan oleh penyelidik sebagai perbuatan berkabung," katanya ketika ditemui pada siri pertama Jelajah Sawit Hijau oleh Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) di Aman Central, Alor Setar, Kedah pada Sabtu lalu.

Katanya, semangat berkumpulan gajah juga sangat kuat sehinggakan mereka akan saling membantu apabila seekor daripadanya menghadapi masalah atau terasa terancam.

Dr Wong Ee Phin (kiri) dan Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud (kanan) pada siri pertama Jelajah Sawit Hijau di Aman Central, Sabtu lalu.

Habitat gajah semakin kecil

Sebut sahaja gajah, pastinya terbayang badannya yang besar dan sering menyebabkan kerosakan tanaman di ladang atau rumah.

Namun, katanya, ia persepsi yang perlu diubah dan difahamkan dengan lebih jelas kepada masyarakat.

Ee Phin juga tidak menafikan bahawa sememangnya terdapat kesukaran untuk manusia hidup bersama gajah terutamanya di kawasan pertanian kerana tuntutan ekonomi.

"Bagi saya, ia sangat memahami. Disebabkan itu, saya juga bekerjasama dengan pihak terlibat dalam pertanian dan ladang-ladang kelapa sawit untuk mencari cara bagaimana mereka mencapai kewujudan bersama.

"Dahulu, gajah dianggap sebagai simbol kekuatan negara ketika zaman empayar Kesultanan Melaka, mereka gunakan gajah sebagai pertahanan semasa berperang.

"Tetapi, selepas Perang Dunia Kedua, apabila Malaysia nak bangkit dari kemelutan ekonomi, memang kita buka banyak kawasan hutan untuk ladang getah dan kelapa sawit.

"Sejak itu, muncul konflik-konflik dengan gajah sebab ia boleh makan pokok getah dan kelapa sawit," jelasnya.

Peranan gajah dalam menjaga ekosistem alam.

Katanya, memandangkan kawasan hutan di Semenanjung Malaysia yang semakin mengecil dan adanya fragmentasi, ia secara tidak langsung menyekat kemandiran hidupan liar.

Situasi itu, menurutnya sekali gus membuatkan habitat gajah semakin mengecil dan dilihat seolah-olah menceroboh masuk ke dalam kawasan perumahan.

Usaha wujud suasana harmoni

Bagi mengelakkan konflik antara gajah dan manusia lebih besar, katanya, MEME mengambil beberapa langkah bagi mewujudkan persekitaran yang selamat dan harmoni.

Usaha itu juga dijalankan dengan kerjasama MPOGCF menerusi siri Jelajah Sawit Hijau dengan tagline Konservasi Kunci Sawit Mampan di empat zon bermula Sabtu lalu.

Antara inisiatif dilakukan adalah terus meningkatkan kesedaran pemandu-pemandu terutamanya di kawasan JRTB Gerik-Jeli untuk memandu dengan lebih waspada pada waktu malam.

Berdasarkan kajian MEME, pihaknya mendapati sekumpulan gajah sering melintas pada waktu malam iaitu 80 peratus antara pukul 7 petang hingga 7 pagi berbanding pada siang hari sebanyak 20 peratus sahaja.

Gajah lebih aktif melintas jalan pada waktu malam berbanding siang hari. — Gambar hiasan/Agensi

"Tetapi, langkah itu hanya boleh mengurangkan risiko. Sebaik-baiknya pemandu cuba kurangkan memandu di kawasan itu pada waktu malam.

"Pemandu juga disarankan untuk berhenti di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) di Bersia, Gerik, Perak atau Jeli, Kelantan.

"Mereka juga digalakkan untuk berehat di hotel bajet atau inap desa di kawasan berhampiran dan boleh menyambung perjalanan pada siang hari," tambahnya.

Selain itu, pihaknya juga mencari jalan penyelesaian dengan membina kawasan atau koridor khas untuk memudahkan pergerakan gajah.

Gajah juga boleh menggunakan laluan itu untuk keluar dan masuk ketika mencari makanan meskipun terdapat juga risiko kecil untuk kawasan berdekatan mengalami kerosakan.

Dengan kecanggihan teknologi sekarang, MEME juga berupaya menjejaki keberadaan dan pergerakan melalui pemasangan Sistem Pengesan Kedudukan Global (GPS) pada badan gajah.

Pemasangan kolar GPS untuk menjejaki pergerakan gajah. — MPOGCF

"Fungsi GPS ini sangat membantu untuk kami tahu kesinambungan kawasan-kawasan hutan di Semenanjung Malaysia yang boleh berfungsi sebagai habitat gajah dan mana kawasan sukar untuk dilalui mereka.

"Kami juga boleh tahu lebih mendalam kelakuan dan ekologi gajah di hutan tropika, berapa luas kawasan rayauan.

"Selain hutan, kami juga dapat tahu sebenarnya kawasan pertanian merupakan satu kawasan habitat yang penting untuk gajah.

"Maklumat-maklumat dari kolar GPS ini boleh membantu kami memahami interaksi gajah dengan kawasan pertanian dan kawasan penempatan manusia," ujarnya.

Katanya lagi, kajian dan usaha konservasi gajah turut menyumbang kepada ilmu pengetahun baharu seperti peranannya dalam ekosistem.

Antaranya, mereka menjadi penyebar biji benih yang sangat efektif, jurutera ekosistem bermanfaat terhadap hidupan liar lain dan banyak lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram