DUA projek naik taraf utama yang sedang dilaksanakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bakal siap menjelang 2025.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ia membabitkan dua aset lamanya iaitu sistem Aerotrain dan pengendali bagasi.
Katanya, dua projek naik taraf berskala besar itu dilaksanakan oleh operator lapangan terbang tersebut iaitu Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
"(Siap) dalam masa satu hingga dua tahun," katanya ketika ditemui pemberita di Menara Star, Petaling Jaya, Selangor pada pagi Isnin.
Beliau sebelum itu hadir dalam program bersama radio Suria FM dan 998 FM.
Sistem pengendali bagasi antara kemudahan di KLIA yang mengalami proses naik taraf. — Bernama
Untuk rekod, kedua-dua aset tersebut sudah beroperasi selama lebih 20 tahun.
Pada 8 Mac lalu, The Star melaporkan melaporkan beberapa pemain utama industri pelancongan negara yang berpandangan KLIA perlu melalui proses pengubahsuaian besar-besaran terhadap kemudahan di lapangan terbang tersebut.
Menurut mereka, KLIA kini dilihat agak ketinggalan berbanding pesaing lain seperti Lapangan Terbang Changi, Singapura.
Dalam pada itu, mengulas mengenai permintaan beberapa agensi pelancongan yang meminta pelaksanaan penambahan jumlah penerbangan ke Malaysia, Anthony berkata, kerajaan sentiasa terbuka untuk penambahbaikan tersebut.
Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan berkenaan penambahan tersebut adalah terletak di tangan syarikat penerbangan yang beroperasi di KLIA.
Perkhidmatan aerotrain yang menghubungkan pengguna bagi pergerakan antara terminal di KLIA sudah beroperasi melebihi 20 tahun.
"Ia bukan persoalan kita tidak membenarkan. Kita gembira untuk memudahkan. Apabila ada peningkatan terhadap permintaan, pihak berkuasa kita, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) pastinya akan membantu dan berikan kebenaran.
"Tetapi ia adalah keputusan komersial syarikat tersebut dan mereka hanya akan lakukan penambahan sekiranya ada permintaan," ujarnya.
Anthony berkata, meskipun tahap permintaan terhadap perkhidmatan penerbangan dilihat semakin pulih selepas pandemik, syarikat penerbangan dilihat mempunyai kekangan untuk beroperasi dengan kapasiti penuh.
Katanya, antara cabaran utama dihadapi adalah bagi memulihkan operasi bilangan kapal terbang yang tersadai tidak digunakan digunakan semasa tempoh pandemik dan juga kekurangan juruterbang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram