
WALAUPUN sudah seminggu kejadian nahas tragis mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Perak berlalu, emosi ahli keluarga masih belum pulih sepenuhnya.
Dalam satu temubual penuh emosi, Noor Hasliza Mohd Hadzri, 32, isteri kepada Allahyarham Koperal Muhamad Akmal Muhamad, 35, berkata walaupun dia telah reda dengan pemergian suaminya, proses menyesuaikan diri dengan realiti baharu itu bukanlah sesuatu yang mudah.
Ibu kepada dua orang anak itu berkata secara emosi, dia masih belum stabil kerana pemergian suaminya berlaku secara tiba-tiba dan dia memerlukan masa untuk benar-benar menerima kenyataan tersebut.
BACA LAGI : Selari dengan amalan biasa, Ayob Khan pilihan tepat untuk ketuai PDRM — Penganalisis Jenayah
"Tapi saya terima dengan reda, bahawa dia pergi dalam keadaan yang sangat baik.
"Saya masih ingat semasa proses pengecaman jenazah suami, saya dapat rasa satu ketenangan menyelubungi dirinya walaupun sudah tidak bernyawa.
"Walaupun masih ada kesan darah, bau tubuhnya wangi ketika itu,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad di rumahnya di Bandar Baru Putra pada Selasa.
Sembilan anggota FRU Unit 5 yang berpangkalan di Sungai Senam, Ipoh dilaporkan terbunuh dalam nahas membabitkan lori muatan pasir di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik dekat Teluk Intan.
Ibu bapa mentuanya, Muhamad Razali, 63, dan Ruzita Razali, 59, turut berada di sisi Noor Hasliza.
Manakala, dua anaknya, Mohamad Adam Harris, 6, dan Nur Aqeela Nadine yang berusia satu tahun dua bulan, berada di sekolah dan bersama pengasuh.
Noor Hasliza yang bekerja di bahagian pentadbiran di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh berkata, dia kini perlu membiasakan diri dengan rutin dan suasana baharu tanpa kehadiran suaminya.
Katanya, anak lelakinya mula memahami bahawa ayahnya telah tiada.
"Kalau saya tanya dia, dia akan jawab, 'Babah dah meninggal, Babah ada di syurga'.
"Ada masa dia diam sahaja, bila saya nampak, saya akan tanya dia, 'Kamu okay tak? Jangan sedih. Kalau sedih, baca Al-Fatihah'.
"Tapi anak perempuan yang kecil itu, saya perasan dia macam tercari-cari ayah dia.
"Dia asyik merengek dan sebut 'Babah', macam sedang mencari-cari,” katanya lagi.
Noor Hasliza turut memaklumkan bahawa dia menyimpan tali nama suaminya dari uniform FRU, yang tertera namanya dan logo FRU, serta baju T terakhir yang dipakai arwah.
"Saya cuci darah yang ada pada baju itu dan simpan," katanya.
Pada 13 Mei lalu, sebuah trak yang membawa 18 anggota FRU Unit 5 dari Sungai Senam, Ipoh, bertembung dengan sebuah lori membawa muatan batu kerikil yang memasuki laluan bertentangan.
Perlanggaran itu mengorbankan lapan anggota FRU di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia di Hospital Teluk Intan.
Sembilan yang lain mengalami kecederaan, termasuk ada yang parah.
Ketika kejadian, kenderaan FRU itu sedang dalam perjalanan pulang ke Ipoh bersama enam lagi kenderaan FRU selepas selesai menjalankan tugas sempena perayaan Chitra Pournami di Teluk Intan. — The Star/ MANJIT KAUR
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram