
TIMBALAN Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang bakal menamatkan perkhidmatannya dalam Jemaah Menteri pada 17 Jun ini.
Menerusi satu hantaran di laman X (Twitter) miliknya pada Rabu, Ahmad Maslan turut menitipkan pesanan agar masyarakat tidak bergembira di atas kesusahan yang menimpa orang lain.
"Jangan kita gembira terhadap kedukaan orang lain. Itu nasihat kepada saya oleh seseorang," tulis beliau.
BACA LAGI : Tiada lagi mandat dari parti, Rafizi Ramli umum letak jawatan Jemaah Menteri
BACA LAGI : Gagal pertahan Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad letak jawatan Menteri NRES
Ahmad Maslan turut mengucapkan terima kasih kepada Rafizi atas sumbangan beliau kepada negara secara am dan khususnya kepada Kementerian Ekonomi sepanjang tempoh perkhidmatannya.
"Selamat meneruskan perjuangan atas pentas yang lain, contohnya sebagai Ahli Parlimen," katanya.
Terdahulu, Rafizi mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Ekonomi yang akan berkuat kuasa pada 17 Jun 2025.
Dalam satu kenyataan yang dikongsikan di laman Facebook miliknya, beliau memaklumkan menghantar surat rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan akan mula bercuti sehingga tarikh akhir perkhidmatan beliau.
Peletakan jawatan itu dipercayai ada kaitan dengan kekalahan Rafizi dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini, yang sekaligus menjejaskan mandat beliau untuk meneruskan agenda parti dalam kerajaan.
Rafizi merupakan antara watak penting dalam membawa pendekatan dasar ekonomi progresif menerusi Kementerian Ekonomi sejak Kerajaan Perpaduan dibentuk pasca Pilihan Raya Umum ke-15. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram