Tiada lagi mandat dari parti, Rafizi Ramli umum letak jawatan Jemaah Menteri


  • Massa
  • Rabu, 28 Mei 2025

Rafizi Ramli, mengumumkan peletakan jawatan daripada Jemaah Menteri yang akan berkuat kuasa 17 Jun 2025.

MENTERI Ekonomi, Rafizi Ramli, mengumumkan peletakan jawatan daripada Jemaah Menteri yang akan berkuat kuasa 17 Jun 2025.

Menurut kenyataan yang dikongsinya di Facebook pada Rabu, beliau telah menghantar surat rasmi kepada Perdana Menteri dan akan mula mengambil cuti tahunan sehingga tarikh akhir perkhidmatan beliau.

Peletakan jawatan tersebut dibuat susulan kekalahannya dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini, sekali gus menyebabkan beliau tidak lagi mempunyai mandat untuk meneruskan agenda parti sebagai anggota kerajaan.

BACA LAGI : Sistem pemilihan tidak adil dikata punca Rafizi pernah luah mahu letak jawatan

BACA LAGI : PM Anwar jawab spekulasi keputusan Rafizi bercuti panjang

"Saya menyertai politik untuk membudayakan politik baru yang berteraskan kebertanggungjawaban dan mandat rakyat. Pemimpin yang kalah perlu memberi laluan kepada yang menang," katanya. 

 

Beliau turut mengakui menyertai politik untuk membudayakan politik baru yang berteraskan kebertanggungjawaban dan mandat rakyat.

"Kekalahan saya dalam pemilihan PKR baru-baru ini bermakna saya tidak lagi mempunyai mandat dari parti saya untuk menterjemahkan agenda rakyat yang digagaskan oleh PKR menjadi program kerajaan.

"Seperti mana amalan di negara-negara yang menitikberat prinsip demokrasi, pemimpin yang kalah dalam pemilihan parti perlu memberi laluan kepada pemimpin yang menang mengambil tempat di dalam kerajaan," katanya.

Rafizi turut mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan dan kakitangan Kementerian Ekonomi yang memberi dukungan penuh kepadanya sepanjang menerajui kementerian itu.

"Saya melihat sendiri kecekapan dan kemampuan sebahagian besar penjawat awam di sini, yang berupaya merangka dasar dan disusuli dengan kerangka program yang berkesan.

"Saya yakin program untuk membaiki struktur ekonomi negara yang dipelopori oleh Kementerian Ekonomi akan terus dilaksanakan dengan jaya oleh penjawat-penjawat awam.

"Amanah terakhir saya sebagai Menteri Ekonomi sudah disempurnakan dengan penghasilan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dimuktamadkan dan menunggu untuk dibentangkan di Parlimen dalam sidang yang seterusnya," katanya.

Katanya, RMK13 digubal untuk memberi penekanan kepada reformasi pendidikan yang lebih menyeluruh termasuk beberapa reformasi struktur yang melibatkan Kementerian Pendidikan.

"Saya berharap Jemaah Menteri tetap mengekalkan beberapa reformasi berani yang membabitkan Kementerian Pendidikan di dalam RMK13, walaupun saya tidak lagi berada di dalam Jemaah Menteri.

"Akhir sekali, saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan penghargaan kepada rakyat Malaysia, penjawat awam,swasta, media dan semua pemegang taruh yang pernah berurusan sepanjang saya menjadi Menteri Ekonomi.

"Perjalanan kita untuk merubah struktur ekonomi negara menjadi lebih kukuh dan mencapai status negara berpendapatan tinggi adalah masih jauh.

Oleh itu, kita wajar terus mengambil keputusan yang baik untuk jangka panjang, walaupun keputusan itu sukar dan berliku, demi generasi masa hadapan," katanya. 

Sementara itu, Perdana Menteri memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai isu peletakan jawatan Rafizi Ramli ketika disoal wartawan.

Sebaliknya, Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali menyoal pemberita berhubung perkara itu.

"Siapa beritahu (perletakan jawatan Rafizi)?" soalnya sebelum beredar meninggalkan pekarangan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Rabu.

Sementara itu, Perdana Menteri memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai isu peletakan jawatan Rafizi Ramli ketika disoal wartawan.

Sebaliknya, Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali menyoal pemberita berhubung perkara itu.

"Siapa beritahu (perletakan jawatan Rafizi)?" soalnya sebelum beredar meninggalkan pekarangan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) , Kuala Lumpur  pada Rabu.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram