Ada nafi terlibat, polis buka kertas siasatan murid diherdik guru


  • Kes
  • Selasa, 27 Mei 2025

Polis menerima laporan yang dibuat seorang guru dari sebuah sekolah di Kajang di IPD kajang pada Isnin.

POLIS membuka kertas siasatan berkaitan rakaman tular seorang murid sekolah dimarah dan diherdik gurunya.

Ketua Polis Kajang, Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan yang dibuat seorang guru dari sebuah sekolah di Kajang.

Katanya, satu laporan polis telah dibuat oleh seorang wanita tempatan berumur 40 tahun yang merupakan seorang guru dari sebuah sekolah di Kajang, Selangor pukul 10.26 pagi Isnin. 

BACA LAGI : KPM siasat kes guru didakwa malukan murid beramai-ramai, berkali-kali ingatkan patuhi etika — Fadhlina Sidek

BACA LAGI : [VIDEO] 'Gelaran boleh berubah, maruah tidak', wanita sebak terserempak bekas guru besar kutip kotak pada usia 81 tahun

"Dalam laporan tersebut, pengadu menafikan dia terlibat dalam kejadian yang berlaku.

"Wanita itu turut meminta siasatan lanjut dijalankan untuk mendapatkan kebenaran," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tambah Nazron lagi, tiada sebarang laporan polis dibuat oleh pihak ibu bapa atau mangsa bagi kejadian tersebut. 

Ketua Polis Kajang, Naazron Abdul Yusof

"Satu kertas siasatan dibuka dibawah Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-kanak 2001, yang mana jika disabitkan dengan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

"Siasatan turut dijalankan dibawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan (fitnah) yang membawa hukuman penjara maksimum selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Dalam masa yang sama siasatan selari turut dijalankan dibawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998, yang boleh dihukum penjara selama setahun atau denda sehingga RM50,000 ringgit atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan,” ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan ke balai berhampiran atau boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes Insp. Nur Fatihah Binti Awang di talian 011-25703695 bagi membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram