
SEBUAH kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza terbakar di Aras 3, Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) dekat Sepang, Selangor pada Selasa.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shari'at berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9.20 pagi itu, pemandu kenderaan bertindak pantas memadamkan kebakaran dengan menggunakan alat pemadam api yang disediakan di kawasan terminal.
"Beberapa orang awam turut tampil membantu dengan menggunakan pili bomba berhampiran untuk memadamkan api,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
BACA LAGI : [VIDEO] Orang awam jadi hero, bekerjasama dengan suami mangsa cekup peragut di Rawang
BACA LAGI : [VIDEO] Rakaman pelantar minyak terbakar bukan berlaku di Sarawak, tiada kematian dilaporkan
Jelas beliau lagi, beberapa anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA tiba di lokasi kejadian dan memastikan api dipadamkan sepenuhnya serta kawasan berada dalam keadaan selamat.
Katanya, pengadu juga sudah membuat laporan polis berkaitan kejadian berkenaan.
"Siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai bersifat kemalangan dan puncanya masih dalam siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat.
"Kita juga sedang menyiasat sama ada wujud sebarang unsur khianat atau jenayah dalam kebakaran tersebut yang berlaku secara tiba-tiba," katanya.
Pada masa sama, beliau turut mengesahkan kebakaran tersebut tidak melibatkan mana-mana premis di KLIA2 dan tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan dalam kejadian itu.
"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden ini. Operasi di Terminal 2 KLIA berjalan seperti biasa.
"Pemilik kenderaan juga disarankan untuk sentiasa memastikan aspek penyelenggaraan dilakukan dengan baik bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” ujarnya.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram