Gagal pertahan Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad letak jawatan Menteri NRES


  • Massa
  • Rabu, 28 Mei 2025

Nik Nazmi Nik Ahmad pada Rabu mengumumkan peletakan jawatannya daripada Kabinet, berkuat kuasa 4 Julai 2025. 

MENTERI Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad pada Rabu mengumumkan peletakan jawatannya daripada Kabinet, berkuat kuasa 4 Julai 2025. 

Keputusan ini dibuat susulan kekalahannya dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini, di mana beliau gagal mempertahankan jawatan Naib Presiden dan Ketua Cabang Setiawangsa.  

Dalam satu kenyataan media, Nik Nazmi menyatakan bahawa keputusan ini diambil sebagai langkah bertanggungjawab terhadap mandat yang diberikan oleh ahli parti. 

BACA LAGI: Tiada lagi mandat dari parti, Rafizi Ramli umum letak jawatan Jemaah Menteri

BACA LAGI: Sistem pemilihan tidak adil dikata punca Rafizi pernah luah mahu letak jawatan

Beliau menegaskan bahawa kekalahan dalam pemilihan parti adalah isyarat jelas daripada akar umbi, dan sebagai pemimpin yang menghormati proses demokrasi, beliau memilih untuk berundur daripada jawatan menteri.

Dalam satu kenyataan tersebut, Nik Nazmi turut memaklumkan beliau akan bercuti bermula Khamis hingga 3 Julai 2025, katanya menerusi Instagram miliknya.

 

 

"Sejak dilantik ke dalam Jemaah Menteri, pertama sebagai Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Disember 2022-Disember 2023), dan seterusnya sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (Disember 2023—Julai 2025), saya telah berusaha sebaik mungkin bersama Timbalan Menteri dan para penjawat awam yang berdedikasi untuk melaksanakan reformasi yang amat diperlukan.

"Kejayaan dua kementerian ini termasuklah pindaan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] - Fasa 1, serta peningkatan ketelusan dalam laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA). Malaysia juga menjadi antara negara terawal yang mengemukakan National Biodiversity Strategies and Action Plan (NBSAP) bagi membendung kemusnahan alam semula jadi.

"Pengurangan kadar penyahutanan yang ketara juga telah mendapat pengiktirafan daripada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres.

"Namun begitu, saya sedar bahawa kedudukan saya ketika itu sebagai Naib Presiden KEADILAN adalah antara pertimbangan utama dalam pelantikan saya ke Kabinet.

"Memandangkan saya tidak berjaya mempertahankan jawatan tersebut dalam pemilihan parti baru-baru ini, saya telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri," katanya. 

Pada masa sama beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penjawat awam yang berwibawa, pasukan di pejabatnya serta semua pihak daripada sektor awam, swasta dan masyarakat awam. 

"Saya kini menantikan peluang untuk kembali menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen, serta menumpukan perhatian kepada khidmat di kawasan saya di Setiawangsa," tulisnya.

Terdahulu, Rafizi mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Ekonomi yang akan berkuat kuasa pada 17 Jun 2025.

Dalam pada itu, Pejabat Perdana Menteri mengesahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menerima surat permohonan cuti dan pengunduran Rafizi dan Nik Nazmi sebagai anggota Kabinet daripada Menteri Ekonomi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, setelah meneliti permohonan tersebut, Perdana Menteri telah bersetuju meluluskan permohonan cuti kedua-dua menteri berkenaan.

"Sebarang keputusan lanjut terkait perkara ini akan dimaklumkan kemudian oleh Perdana Menteri," kata kenyataan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram