[VIDEO] Bukan takat mati enjin, elok tutup pintu elak berulang insiden kereta terbakar ketika isi minyak di Ipoh


  • Tular
  • Rabu, 28 Mei 2025

Tangkap layar sebuah kenderaan terbakar di sebuah stesen minyak di Ipoh, Perak baru-baru ini.

KEBAKARAN yang berlaku di stesen minyak sering kali berpunca daripada kecuaian pengguna sendiri yang mengambil mudah aspek keselamatan asas ketika mengisi bahan api. 

Walaupun peringatan demi peringatan telah diberikan, masih ramai yang gagal mematikan enjin, menggunakan telefon bimbit dan membiarkan pintu kereta terbuka semasa mengisi minyak.

Baru-baru ini, sebuah kejadian kereta terbakar di sebuah stesen minyak di Ipoh, Perak mencetuskan kegusaran ramai apabila ia dipercayai berpunca daripada kegagalan mematikan enjin semasa pengisian petrol. 

BACA LAGI : 'Itu ayah saya, bukan bahan lawak', hati anak terluka gambar sedih bapa jadi 'sticker' WhatsApp, difitnah kahwin lain

BACA LAGI : [VIDEO] Asap tiba-tiba keluar, misteri Perodua Alza tiba-tiba terbakar cetuskan panik di KLIA 2

Kejadian itu bukan sahaja mengundang bahaya kepada pemandu, malah turut membahayakan pengguna lain serta pekerja stesen minyak. 

Ia sekali gus membuktikan bahawa kelalaian sekecil itu mampu membawa kepada tragedi yang besar.

Insiden berkenaan turut tular di media sosial dan mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan netizen yang rata-ratanya menzahirkan kebimbangan serta berkongsi pengetahuan berkaitan risiko ketika berada di stesen minyak. 

Ada dalam kalangan warga maya di laman X (Twitter)  menegaskan bahawa tabiat seperti tidak menutup pintu kereta, keluar masuk kenderaan ketika proses pengisian serta menggunakan telefon bimbit perlu dihentikan segera.

Seorang pengguna platform X, @PianAffendy berkata pemilik kenderaan tidak seharusnya membiarkan pintu kereta terbuka ketika mengisi minyak. 

"Pintu pun mesti ditutup untuk elak wap petrol masuk ke dalam kereta. Kalau wap masuk dalam kereta, ada orang main telefon, boleh terbakar jugak," katanya.  

Pandangan itu turut dikongsi oleh @meIayuterakhir yang menegur tabiat pengguna yang sering keluar masuk dari kereta semasa mengisi minyak, yang menurutnya boleh menyebabkan pembentukan elektrik statik yang tinggi risiko. 

"Enjin mati pun boleh terbakar sebab statik. Dalam kereta sejuk, jadi statik build up," katanya.

Seorang lagi netizen, @hzqhmdn_ pula menegaskan keperluan menutup pintu dan tingkap sekiranya enjin kenderaan tidak dimatikan, bagi mengelakkan pengumpulan wap mudah terbakar di dalam ruang kabin kenderaan. 

Kejadian stesen minyak Ipoh itu sekali gus menjadi pengajaran besar kepada semua pihak bahawa keselamatan di stesen minyak adalah tanggungjawab bersama. 

Mematuhi peraturan asas seperti mematikan enjin, tidak menggunakan telefon dan memastikan pintu serta tingkap tertutup rapat ketika mengisi bahan api seharusnya menjadi rutin setiap pengguna kenderaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram