'Boleh untung jika buat dengan betul', Enervive bangun potensi sukan, bermula dari akar umbi


  • Bisnes
  • Selasa, 27 Mei 2025

Shahrizin berkata, situasi semasa dihadapi industri sukan negara tidak bermaksud ia langsung tidak mempunyai potensi untuk berkembang.

DI Malaysia, lazimnya sukan bukan satu bidang yang dianggap sebagai sesuatu yang boleh memberikan pulangan menguntungkan khususnya sebagai satu bentuk pelaburan dan perniagaan.

Malah, terdapat pandangan menyifatkan sukan di dalam negara masih belum layak untuk dipanggil sebagai satu industri.

Maka, tidak hairanlah apabila tidak ramai pihak termasuk syarikat swasta menunjukkan minat mendalam untuk membuat pelaburan terhadap sukan di Malaysia.

BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal

BACA LAGI: 'Yuna peminat Liverpool', tak sampai setahun beroperasi, pasangan suami isteri di Klang pendam impian mahu setanding syarikat jersi di UK

Lihat sahaja terhadap keadaan liga bola sepak Malaysia yang saban tahun terpalit dengan kontroversi dek kerana keadaan kewangan tidak stabil akibat ketiadaan penajaan yang kukuh.

Bagaimanapun, bagi Ketua Pegawai Eksekutif Enervive Sports, Shahrizin Shahrudin, situasi semasa dihadapi industri sukan negara tidak bermaksud ia langsung tidak mempunyai potensi untuk berkembang.

Malah, beliau turut melahirkan keyakinan bahawa sukan negara sememangnya berupaya untuk dikomersialkan sekiranya ia dijalankan dengan betul.

Untuk rekod, Shahrizin bukanlah nama yang asing dalam industri sukan di Malaysia.

Beliau merupakan salah seorang individu yang memulakan usaha bagi penswastaan liga malaysia bersama Malaysian Football League (MFL) dengan memegang jawatan selaku Ketua Pegawai Pemasaran.

Jawatan lain pernah disandangan termasuk Pengarah Penajaan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan Pengurus Jualan Penajaan di Football Focus Sdn. Bhd.

Majoriti menemu bual Shahrizin Shahrudin untuk mengetahui lebih lanjut mengenai syarikat agensi sukan yang dibangunkannya di samping berkongsi mengenai potensi yang wujud dalam industri sukan negara.

1. Boleh kongsikan bagaiman idea untuk memulakan Enervive tercetus?

 Idea mulakan Enervive ini tercetus sebab saya dah terlibat dengan sukan sejak sekitar 2008. Jadi selepas saya menyelesaikan tugasan bagi Sukan SEA KL 2017, saya rasa macam dah tiba masa untuk saya buka syarikat agensi sukan sendiri bermula dengan buka padang kecil sendiri yang jadi perniagaan utama kami.

Di bawah Enervive kini kita ada tujuh padang di tiga lokasi. Tujuh padang rumput tiruan yang kita jalankan sendiri secara komersial. 

Penganjuran SSR kini sudah memasuki tahun ke-10.

Kemudian, kami membangunkan dua lagi padang tambahan. Penambahan dua padang ini dibuat kerana saya telah mula menganjurkan lebih banyak kejohanan ragbi. Pada masa ini, cabaran utama kami adalah untuk mendapatkan lokasi padang yang sesuai bagi permainan ragbi. Oleh itu, dua padang baharu ini dibina menggunakan rumput tiruan yang boleh digunakan untuk permainan bola sepak dan juga ragbi. Kedua-dua padang tersebut kini dalam proses pembinaan dan, insya-Allah, dijangka siap dalam bulan ini.

2. Boleh kongsikan bagaimana Enervive menjana pendapatan?

Tiga pendapatan utama kami adalah dari sewaan padang, penganjuran acara dan jualan merchandise. Kami juga menyediakan ruang untuk acara sendiri seperti pertandingan ragbi seperti Super Schools Rugby (SSR) dan mempunyai jenama pakaian sukan sendiri yang dikenali sebagai EV.

3. Boleh tuan kongsikan mengenai bagaimana syarikat seperti Enervive memainkan peranan dalam memastikan kemapanan industri sukan tanah air?

Seperti kami sendiri dan secara peribadi bagi pihak saya, usaha ini adalah untuk mengangkat sukan sebagai sebuah industri yang betul-betul diiktiraf. Saya berpendapat bahawa antara sektor paling terkesan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu ialah sektor sukan. Sukan merupakan antara yang pertama ditutup dan yang terakhir dibenarkan beroperasi semula.

Bayangkan, ketika kita memasuki PKP kedua atau ketiga, pawagam sudah pun dibuka semula, namun aktiviti seperti bermain bola sepak masih belum dibenarkan. 

Keadaan ini menunjukkan wujudnya pelindungan terhadap industri tertentu sebagai contoh, industri perfilman dilihat mendapat lebih banyak perhatian berbanding sektor sukan. Jadi, inilah antara dorongan utama mengapa kami menganjurkan acara-acara berkaitan sukan.

Untuk makluman, ketika pelancaran program kami, saya sedar bahawa sekiranya ingin mempromosikan sukan secara menyeluruh, kita perlu bermula dari peringkat akar umbi. Ia tidak cukup sekadar dianjurkan di peringkat kebangsaan, meskipun kejohanan kami bagi sukan ragbi sebenarnya berskala besar.

Matlamat kami ialah untuk mendidik setiap peserta kejohanan agar mereka dapat melihat usaha ini sebagai satu bentuk penghargaan terhadap sukan itu sendiri. Apabila mereka tamat pengajian kelak atau menganjurkan program di sekolah masing-masing, mereka sudah mempunyai kefahaman bahawa beginilah caranya sesuatu kejohanan sukan itu harus dijalankan. Kesedaran seperti ini akan membawa kepada penghargaan yang lebih tinggi terhadap sukan apabila mereka dewasa kelak.

4. Kita tahu sentimen negatif terhadap sukan dengan ramai menganggap ia sebagai industri yang hanya merugikan. Kita boleh lihat sendiri bagaimana keadaan sukan utama negara seperti bola sepak yang dibelenggu dengan isu kewangan yang kritikal. Jadi apa pandangan Shahrizin terhadap perkara ini.

Pada pendapat saya, apabila sesuatu kejohanan itu diuruskan secara komersial, ia secara langsung mewujudkan nilai komersial.

Saya percaya kejohanan seperti itu perlu diberikan ruang untuk berkembang.

Ketua Pegawai Eksekutif Enervive Sports, Shahrizin Shahrudin.

Sebagai contoh, saya ingin berkongsi pengalaman berkaitan kejohanan SSR yang kini sedang berlangsung. 

Saya akui bahawa pada peringkat awal penganjurannya, ia dilaksanakan hanya untuk sekadar memastikan kejohanan itu berjalan tanpa perancangan yang terlalu mendalam. 

Namun kini, apabila edisi ke-10 sedang berlangsung, saya melihat jenama SSR ini sudah mula dikenali dan memberikan pulangan. Ini menunjukkan bahawa jika sesuatu itu dilaksanakan dengan betul, ia boleh memberi pulangan.

Saya bukan kata apa yang kami buat ini sempurna, tapi sekurang-kurangnya kami berada di landasan yang tepat dan apabila kita berada di landasan yang betul, potensi untuk meraih pulangan itu memang wujud.

Sebagai contoh, permintaan terhadap jualan barangan rasmi (merchandise) juga sudah mula meningkat. 

Penajaan juga telah mula masuk untuk menyokong penganjuran SSR kerana ia bukan lagi dianggap sebagai acara yang mengalami kerugian. Saya sendiri mula melihat potensi sebenar program ini.

Apabila kejohanan ini dikomersialkan dengan baik, limpahannya boleh dirasai oleh pihak-pihak terlibat. Contohnya, pasukan ragbi  MRSM Balik Pulau pada tahun lalu menerima tajaan mencecah RM100,000 atau mungkin lebih. RMC (Maktab Tentera Diraja) juga sedang melakukan perkara yang betul dalam hal ini.

Apabila kejohanan dilaksanakan secara komersial, saya percaya sekiranya data dan maklumat daripada kejohanan tersebut digunakan dengan betul, ia boleh membawa manfaat kepada pasukan-pasukan yang menyertainya. 

Sudah tentu, pada masa ini kita masih berada di peringkat pembangunan. Jadi belum boleh dibandingkan dengan Liga Malaysia, misalnya, kerana senario dan tahap pelaksanaannya amat berbeza.

Namun begitu, apa juga yang kita laksanakan perlulah berpandukan kepada kemampuan kewangan kita. Sekiranya berlaku kerugian, ia bukanlah kerugian yang membawa kepada penghujung penganjuran. Kami tidak sampai ke tahap itu.

Justeru, memang wujud pendekatan secara komersial yang boleh kita praktikkan bagi menganjurkan kejohanan atau program seperti yang kami usahakan ini.

5. Dari segi pendapatan, bolehkah tuan kongsi anggaran pendapatan bulanan Enervive?

Khusus untuk perkhidmatan padang yang menjadi perniagaan utama kami dan boleh menjana sekitar RM70,000 sebulan untuk setiap padang komersial, bergantung musim tertentu.

Namun, pada bulan Ramadan dan Hari Raya, pendapatan boleh berkurang antara 20 hingga 30 peratus.

6. Soalan terakhir, bolehkah kongsikan mengenai projek sukan terkini dan perancangan masa depan untuk Enervive?

Daripada segi fasiliti padang, sememangnya padang rumput tiruan merupakan teras utama kepada perniagaan syarikat kami. Kami turut menjalinkan kerjasama dengan beberapa pemaju hartanah untuk mengenal pasti lokasi baharu bagi pembinaan padang bola sepak tiruan. Meskipun dinamakan sebagai artificial football pitch, konsepnya sebenarnya terbuka untuk kegunaan pelbagai jenis sukan.

Sebagai contoh, padang sedia ada yang dinamakan sebagai padang bola sepak turut digunakan untuk sukan seperti touch rugby, ultimate frisbee, dan flag football. Jadi kami masih terbuka kepada peluang perniagaan yang melibatkan pelbagai sukan, tidak terhad kepada bola sepak sahaja.

Padang dioperasikan Enervive yang terletak di Shah Alam.

Itu adalah salah satu inisiatif yang sedang kami jalankan. Satu lagi perkara penting, mengapa saya memilih untuk memberikan tumpuan kepada ragbi adalah kerana setakat ini, apabila kami menganjurkan kejohanan ragbi termasuk SSR ia telah mencapai tahap kejohanan kebangsaan. Maksudnya, daripada kejohanan ini, kami telah berjaya melahirkan atlet yang mewakili peringkat kebangsaan.

Berbeza dengan bola sepak yang sudah mempunyai banyak pihak penganjur di Malaysia, jika saya menganjurkan kejohanan bola sepak sekalipun, ia mungkin hanya sekadar menjadi satu lagi kejohanan tambahan dalam senario bola sepak negara. 

Sebaliknya, dalam konteks ragbi, apabila kami anjurkan SSR dan sebelum ini kejohanan Corporate Super Rugby, ia benar-benar berfungsi sebagai kejohanan bertaraf nasional.

Jadi untuk itu kami merancang untuk melancarkan satu lagi kejohanan baharu iaitu Super Varsity Rugby menjelang penghujung tahun ini, sekitar Oktober.

Setakat ini, kami telah melaksanakan SSR (peringkat sekolah), Corporate Super Rugby (peringkat korporat), dan kini dalam proses melengkapkan ekosistem ini dengan peringkat universiti melalui Super Varsity Rugby. 

Matlamat kami adalah untuk menyediakan laluan pembangunan yang menyeluruh kepada pemain ragbi bermula dari peringkat sekolah, universiti, dan seterusnya ke peringkat korporat yang juga membuka peluang kerjaya.

Saya turut melihat sendiri impak daripada penganjuran Corporate Rugby. Contohnya, salah satu pasukan telah memaklumkan bahawa mereka menerima iklan pengambilan pekerjaan di lapangan terbang yang secara khusus menyatakan keperluan kepada calon yang tinggi, mempunyai berat badan tertentu, dan berpengalaman dalam sukan ragbi. 

Ini menunjukkan bahawa kami telah membuka peluang kerjaya kepada mereka yang berkecimpung dalam dunia ragbi.

Model pembangunan ini bukanlah sesuatu yang baharu. Saya percaya visi yang kami ingin capai sudah semakin hampir. 

Harapan kami adalah agar satu hari nanti, apabila seseorang itu mula bermain ragbi di peringkat sekolah, dia sudah boleh membayangkan masa depannya menyambung pengajian di universiti tertentu dan seterusnya membina kerjaya di syarikat-syarikat yang menyokong pembangunan ragbi. 

Keseluruhan laluan ini kami harap dapat berada dalam ekosistem yang kami bangunkan sendiri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram