[VIDEO] Pura-pura tersentuh paha masa tertidur, polis Melaka tahan lelaki raba pelajar wanita dalam bas


  • Kes
  • Sabtu, 24 Mei 2025

Tangkap layar video (gambar kiri) menunjukkan rakaman video menunjukkan suspek disoal oleh pembantu pemandu mengenai perbuatan tidak wajar yang dilakukannya terhadap mangsa.

SATU kes gangguan seksual membabitkan seorang pelajar wanita dilaporkan berlaku di dalam bas ekspres yang sedang melakukan perjalanan dari Kuala Lumpur ke terminal bas Melaka Sentral.

Insiden berlaku sekitar pukul 6 petang itu membabitkan pelajar universiti berusia 19 tahun yang didakwa dicabul warga asing ketika dalam perjalanan pulang dari kolejnya di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Menurut butiran dalam laporan polis dibuat, mangsa menaiki bas dan duduk di sebelah seorang lelaki warga Bangladesh berusia 39 tahun.

BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal

BACA LAGI: 'Yuna peminat Liverpool', tak sampai setahun beroperasi, pasangan suami isteri di Klang pendam impian mahu setanding syarikat jersi di UK

Semasa dalam perjalanan, dia tertidur seketika dan terjaga dengan merasai paha kanannya disentuh oleh lelaki tersebut.

Mangsa kemudiannya menegur suspek dan meminta dia berhenti menyentuhnya.

Bagaimanapun, suspek didakwa meneruskan kelakuan tidak wajarnya.

Berang dengan perkara tersebut, mangsa merakam perbuatan itu dengan menggunakan telefon pintarnya.

Dalam video berdurasi 1 minit 40 saat itu, mangsa kedengaran menegur lelaki itu dalam bahasa Inggeris, berkata: "Saya beritahu awak berkali-kali supaya berhenti menyentuh saya dan awak masih terus melakukannya."

Rakaman itu juga menunjukkan suspek sengaja meletakkan tangan kirinya di atas paha mangsa.

Pelajar tersebut kemudian pergi ke hadapan bas dan memberitahu pemandu mengenai kejadian terbabit.

Menyedari mengenai situasi yang berlaku, pembantu pemandu bas berkenaan terus bertindak menemui suspek yang merespons dengan mendakwa dia secara tidak sengaja menyentuh wanita itu ketika dia sedang tidur dan meminta maaf.

Suspek kemudiannya diarahkan untuk berpindah ke tempat duduk di bahagian belakang bas.

Suspek yang juga seorang tukang cuci yang berpangkalan di Alor Gajah, Melaka ditahan anggota polis sebaik tiba di Melaka Sentral kira-kira pukul 8 malam pada hari sama.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, mengesahkan penahanan itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan seseorang individu.

Kes tersebut adalah kejadian kedua dengan satu lagi kes berlaku pada Khamis lalu apabila seorang pelajar berusia 21 tahun didakwa dicabul seorang pembantu restoran warga Pakistan di tangga blok apartmen di Bukit Beruang.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek berusia 31 tahun itu ditahan pegawai dari balai polis Ayer Keroh selepas mangsa membuat laporan pada hari sama. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram