[VIDEO] India-Pakistan saling tuduh menuduh langgar gencatan senjata


  • Benua
  • Ahad, 11 Mei 2025

Ketegangan antara India dan Pakistan kembali memuncak selepas kedua-dua negara saling menuduh melanggar perjanjian gencatan senjata yang baharu dimeterai. — Agensi

KETEGANGAN antara India dan Pakistan kembali memuncak selepas kedua-dua negara saling tuduh menuduh melanggar perjanjian gencatan senjata yang baharu dimeterai, hanya beberapa jam selepas persetujuan dicapai pada Sabtu.

Letupan dilaporkan kedengaran di Kashmir yang ditadbir India pada tengah malam Sabtu dan awal pagi Ahad selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan genjatan senjata di kedua-dua negara jiran berkuasa nuklear tersebut.

Setiausaha Luar India, Vikram Misri berkata, Pakistan 'berulang kali melanggar' perjanjian gencatan senjata tersebut.

"Kami menganggap ini sebagai satu pencabulan terhadap persefahaman yang dicapai hari ini," katanya sambil menambah bahawa angkatan tentera India sedang memberikan tindak balas yang sewajarnya.

BACA LAGI: Lepas berpuluh nyawa terkorban, India-Pakistan setuju buat gencatan senjata

BACA LAGI: Pakistan lancar serangan balas, bom 3 pangkalan udara India

Beliau turut menggesa Pakistan untuk segera menangani pelanggaran berkenaan.

Sementara itu, Kementerian Luar Pakistan dalam kenyataan balas menegaskan bahawa pihaknya kekal komited untuk melaksanakan gencatan senjata antara Pakistan dan India dengan sepenuhnya, seperti yang diumumkan.

"Walaupun terdapat pelanggaran yang dilakukan oleh India di beberapa kawasan, pasukan kami mengendalikan situasi dengan penuh tanggungjawab dan berhemah.

"Kami percaya bahawa sebarang isu dalam pelaksanaan gencatan senjata yang lancar perlu ditangani melalui komunikasi di peringkat yang sesuai.

"Pasukan di lapangan juga harus menunjukkan kawalan diri," katanya.

 

 

 

Pertempuran sengit yang tercetus sejak empat hari lalu itu merupakan konfrontasi ketenteraan paling buruk antara dua kuasa nuklear Asia Selatan itu dalam beberapa dekad.

Segalanya bermula apabila India melancarkan serangan terhadap beberapa sasaran di Pakistan dan wilayah Kashmir yang ditadbir Pakistan sebagai tindak balas terhadap serangan militan berdarah di Pahalgam bulan lalu.

Serangan itu mengorbankan 26 pelancong, termasuk 25 rakyat India dan seorang warga Nepal.

Pakistan bagaimanapun menafikan sebarang penglibatan dalam serangan tersebut.

Kementerian Pertahanan India menyifatkan tindakan balas tentera itu sebagai sebahagian daripada "komitmen" negara untuk "mempertanggungjawabkan" pihak yang terlibat dalam serangan di Pahalgam.

Namun Pakistan mengecamnya sebagai “tidak berasas”.

Menurut Islamabad, serangan udara India dan tembakan rentas sempadan sejak Rabu lalu menyebabkan 36 orang terbunuh di wilayahnya termasuk di Kashmir yang ditadbir Pakistan.

Tentera India pula mendakwa 21 orang awam terbunuh akibat serangan dari pihak Pakistan.

India dan Pakistan disahkan bersetuju melakukan perjanjian gencatan senjata selepas rundingan diketuai Presiden AS, Donald Trump bagi menamatkan konflik antara dua negara tersebut.

India dan Pakistan disahkan bersetuju melakukan perjanjian gencatan senjata selepas rundingan diketuai Presiden AS, Donald Trump bagi menamatkan konflik antara dua negara tersebut. — Agensi 

Serangan turut menyasarkan pangkalan udara dan lokasi ketenteraan lain, menjadikan malam Jumaat sebagai detik paling sengit dalam konfrontasi tersebut.

Bagaimanapun, selepas empat hari ketegangan, India dan Pakistan mengumumkan persetujuan untuk melaksanakan gencatan senjata sepenuhnya serta-merta.

Perkara itu diumumkan oleh Presiden AS, Donald Trump menerusi platform Truth Social miliknya pada pagi Sabtu.

Beliau mendedahkan gencatan senjata itu dimeterai hasil usaha perantaraan oleh AS.

Menteri Luar Pakistan kemudian mengesahkan bahawa persetujuan tersebut telah dicapai, malah menyatakan bahawa "tiga dozen negara" turut terlibat dalam usaha diplomatik tersebut.

Mengukuhkan perjanjian itu, Menteri Hal Ehwal Luar India, S. Jaishankar memaklumkan bahawa kedua-dua negara telah "mencapai persefahaman untuk menghentikan tembakan dan tindakan ketenteraan".

"India sentiasa mengekalkan pendirian tegas dan tidak berkompromi terhadap keganasan dalam semua bentuk dan manifestasinya. Ia akan terus berbuat demikian," katanya.

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif dalam perutusan kepada rakyat turut menyatakan bahawa gencatan senjata dicapai "demi kebaikan semua pihak".

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio memaklumkan bahawa India dan Pakistan telah bersetuju untuk memulakan rundingan menyeluruh mengenai pelbagai isu di lokasi neutral.

Beliau menjelaskan bahawa beliau dan Naib Presiden AS, JD Vance mengadakan rundingan selama 48 jam dengan pegawai tertinggi dari kedua-dua negara termasuk Perdana Menteri India, Narendra Modi dan Shehbaz Sharif dari Pakistan.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres turut mengalu-alukan semua usaha untuk meredakan konflik tersebut.

Perdana Menteri Britain, Sir Keir Starmer pula mendedahkan bahawa negaranya terlibat dalam rundingan selama beberapa hari dan Setiausaha Luar Britain, David Lammy telah menghubungi kedua-dua pihak. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram