
AHLI politik wanita Thailand, Suwadee Puntpanich menerima kecaman hebat selepas memuat naik foto dirinya menikmati hidangan mewah di sebuah kafe terletak bersebelahan kilang tembakau.
Di kafe tersebut, pengunjung berpeluang melihat pekerja kilang bekerja keras di sebalik dinding kaca lutsinar.
Foto yang dimuat naik Suwadee pada 23 April lalu ke akaun media sosialnya, memaparkan beliau sedang bersantai dengan minuman dan pencuci mulut di kafe Yen.CNX yang berlokasi di Chiang Mai.
Lebih mencetuskan kontroversi, latar belakang gambar tersebut jelas menunjukkan beberapa pekerja kilang tembakau mengasingkan daun tembakau, berpakaian sederhana.
BACA LAGI: [VIDEO] Ibu undang tetamu buat lawatan ke 'galeri' di rumah, pamer hasil lukisan anak usia 7 tahun
BACA LAGI: [VIDEO] Ada yang anggap sampah, Cikgu Khalid hayati roh lukisan 'anak-anak syurga'
Suwadee, ahli Parti Thai Sang Thai dan juga pengarah eksekutif di Thonburi Healthcare Group berkata, kafe tersebut mengubah sebahagian ruang kilang menjadi kedai kopi bagi membolehkan pengunjung melihat cara hidup mereka.
Gambar itu bagaimanapun mengundang reaksi negatif, dengan ramai pengguna media sosial menyamakan situasi tersebut sebagai 'zoo manusia'.
"Sebatang kaca memisahkan kelas, golongan kaya duduk selesa dalam ruang berhawa dingin menikmati kopi, manakala yang miskin bekerja keras sebagai hiburan tidak rasmi,” tulis seorang pengguna media sosial di ruangan komen.
Suwadee merupakan ahli Parti Thai Sang Thai dan juga pengarah eksekutif di Thonburi Healthcare Group. — Agensi
Sehingga kini, hantaran tersebut menerima lebih 53,000 tanda suka dan 11,000 komen, kebanyakannya mengkritik Suwadee kerana dianggap tidak sensitif terhadap jurang sosial dan penderitaan pekerja.
Suwadee menolak kritikan itu dengan menyifatkan persepsi 'zoo manusia' sebagai pemikiran cetek.
Tegasnya, beliau menghormati pekerjaan tersebut disebabkan neneknya sendiri pernah bekerja sebagai pengasing daun tembakau.
Sementara itu, pihak pengurusan kafe Yen.CNX menjelaskan, kilang tersebut diusahakan keluarga pemilik kafe sejak beberapa generasi dan perubahan sebahagian ruang menjadi kafe dibuat dengan niat mendidik masyarakat tentang sejarah pekerjaan berharga dan menghormati maruah pekerja.
Mereka juga menegaskan, pekerja yang kelihatan dalam gambar itu menerima ganjaran setimpal dan tidak diupah semata-mata untuk tontonan umum.
Namun rata-rata warga maya tidak berpuas hati dengan kenyataan itu.
“Anda telah mencabul hak asasi pekerja dengan membiarkan mereka ditonton, dirakam dan dikongsi di media sosial tanpa izin,” tulis seorang pengguna media sosial.
Cadangan turut dikemukakan agar pemilik kafe menyediakan ruang interaksi secara hormat dan dua hala antara pengunjung dan pekerja yang bersedia berbuat demikian. — The Star/FRAN LU
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram